KBS salur RM5.63 juta buat KHM

Hannah. Foto Bernama. Info maklumat dana yang disalurkan KBS kepada KHM. Foto FB Hannah Yeoh
Hannah. Foto Bernama. Info maklumat dana yang disalurkan KBS kepada KHM. Foto FB Hannah Yeoh
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan bahawa Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memperoleh dana sebanyak RM5.63 juta sepanjang tahun lalu.

Beliau yang berkongsi makluman itu menerusi laman sosial menyebut peruntukan tersebut melibatkan empat skuad hoki negara.

"Mari fahami berapa peruntukan untuk sukan hoki Malaysia.

Bagi tahun 2023, lima pasukan menerima jumlah besar RM5.63 juta.

"Piala Dunia Hoki 5 sebelah (5s) ini acara baharu, kali pertama 2024 untuk pasukan lelaki dan wanita. Kami (Kementerian Belia dan Sukan) sedang usahakan bantuan.

"Jumlah besar tujuh pasukan sekarang yang akan dibantu oleh KBS dan Majlis Sukan Negara (MSN)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada malam Rabu.

Beliau menjelaskan daripada jumlah tersebut, RM2,084,618 dan RM1,129,990 masing-masing disalurkan kepada skuad hoki senior lelaki serta wanita negara dan kedua-dua pasukan tersebut tersenarai dalam Program Podium.

"Sebanyak RM1,105,749 dan RM1,315,783 pula masing-masing diperuntukkan kepada skuad hoki dewan kebangsaan dan pasukan pelapis kebangsaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Oman pada Khamis. Foto FB MHC
Malaysia muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s di Oman pada Khamis. Foto FB MHC

KHM menerusi presidennya, Datuk Seri Subahan Kamal pada Rabu membuat keputusan drastik membubarkan skuad hoki senior lelaki dan remaja lelaki.

Pencapaian tertinggi skuad hoki di pentas dunia

Dalam perkembangan berasingan, kejayaan muncul naib juara edisi pertama Piala Dunia Hoki 5 sebelah (s) selepas tewas 2-5 kepada Belanda di Oman awal pagi Khamis merupakan pencapaian tertinggi buat sukan hoki Malaysia.

Ketua jurulatihnya, Wallace Tan mendedahkan para pemain mengerah segala kudrat dalam perlawanan akhir di Muscat itu, namun terpaksa akur dengan kehebatan Belanda selaku juara Eropah.

“Untuk pentas Piala Dunia, ini merupakan satu pencapaian tertinggi dan terbaik untuk hoki Malaysia.

“Sebelum pasukan ke Piala Dunia, kami telah menjalani sesi latihan dengan sebaiknya bagi membaiki kelemahan pasukan dan tempat kedua merupakan tempat yang saya boleh katakan terbaik," katanya menerusi hantaran di Facebook KHM pada Khamis.

Malah lebih manis kapten skuad negara, Mohamad Akhimullah Anuar Esook turut dinobatkan sebagai pemain terbaik setelah meledak 11 gol sepanjang kejohanan tersebut.

Mohamad Akhimullah (tengah) dinobat sebagai pemain terbaik. Foto FB MHC
Mohamad Akhimullah (tengah) dinobat sebagai pemain terbaik. Foto FB MHC

Di sebalik kejayaan manis itu, Wallace berharap peminat sukan tanah air terus memberikan sokongan padu kepada skuad hoki negara selepas ini biarpun kempunan meraih gelaran juara di Oman.

“Saya ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas semua sokongan yang diberikan kepada pasukan kami. Kami telah mencuba sehabis baik dan kami mencapai kedudukan kedua.

“Saya berharap penyokong akan terus memberikan sokongan kepada Pasukan Hoki Malaysia,” katanya.

Malaysia memulakan kempen saingan Kumpulan D dengan keputusan seri 3-3 dengan tuan rumah, Oman sebelum melakar dua kemenangan ke atas Amerika Syarikat 3-2 dan Fiji 8-3 bagi mengesahkan slot ke suku akhir.

Pasukan negara yang bergelar naib juara kumpulan kemudian menumpaskan juara Kumpulan C Trinidad dan Tobago 5-4 di peringkat suku akhir sebelum mengesahkan kemaraan ke final setelah menumpaskan Poland 4-3 pada aksi separuh akhir.