22 makmal dadah haram digempur, 12 'ahli kimia' ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 179,865 individu ditahan sepanjang tahun lalu kerana terlibat dengan pelbagai kesalahan dan aktiviti pengedaran dadah di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamaruddin Md Din berkata, tangkapan kesemua individu tersebut dibuat berdasarkan peruntukan perundangan di bawah seksyen kesalahan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952.

Beliau berkata, hasil serbuan dilakukan pada 2023 itu membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas pelbagai jenis dadah dan racun yang dianggarkan berjumlah RM704.9 juta.

"JSJN akan terus komited dalam membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negara ini.

"Selain kejayaan menangkap mereka yang terlibat dengan dadah, sejumlah 1,012 individu ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Kamaruddin berkata, pihaknya turut berjaya membuat tangkapan melibatkan sindiket dadah, pembongkaran makmal dadah haram serta operasi di pusat hiburan.

Kata beliau, sebanyak 273 sindiket membabitkan 908 individu berjaya diberkas, manakala sebanyak 22 buah makmal dadah haram berjaya dibongkar dengan tangkapan ke atas 12 orang 'ahli kimia'.

Selain itu menurut beliau, sebanyak 1,705 serbuan dengan 4,867 tangkapan telah dilaksanakan semasa Op Pusat Hiburan sepanjang tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu katanya, seramai 7,403 orang penagih dadah tegar yang mempunyai rekod kesalahan dadah berulang di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 telah dituduh di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Daripada jumlah tersebut katanya, seramai 4,863 telah disabitkan kesalahan di bawah seksyen yang sama.

"Seramai 621 orang penjawat awam telah ditangkap di atas pelbagai kesalahan dadah.

"Empat orang daripada mereka turut ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sejumlah 73,364 kertas siasatan dibuka dan sebanyak 69,815 kertas siasatan berjaya dituduh dengan peratus pertuduhan adalah 95.16 peratus sepanjang 2023.

Selain itu tegas beliau, bagi melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di Malaysia, pelbagai aset sindiket dadah yang bernilai RM104.01 juta telah disita, manakala sebanyak RM14.16 juta nilai harta telah berjaya dilucut hak.

"JSJN menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di kawasan masing-masing boleh menyalurkan maklumat menerusi hotline JSJN di talian 012-208 7222," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!