Ular sawa belit dua ekor kambing ditangkap

Pegawai Pertahanan Daerah Besut, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid (kiri) melihat anggotanya mengangkat ular sawa yang kekenyangan setelah menelan seekor kambing.
Pegawai Pertahanan Daerah Besut, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid (kiri) melihat anggotanya mengangkat ular sawa yang kekenyangan setelah menelan seekor kambing.
A
A
A

PERMAISURI - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menangkap seekor ular sawa batik sepanjang enam meter dianggarkan seberat 100 kilogram (kg) yang telah membaham dua ekor kambing milik penduduk Kampung Hulu Seladang di sini semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd Nizu Husien berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang penternak pada kira-kira jam 8 pagi tadi memaklumkan reptilia itu berada di dalam kandang kambing miliknya dan telah menelan seekor daripada dua kambing terbabit.

Sebaik menerima laporan, sebanyak empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menangkap ular berkenaan.

Pegawai Pertahanan Daerah Besut, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid (tengah) melihat anggota APM Setiu, Ahmad Amiruddin Mat Yusof memeriksa ular sawa yang menelan seekor kambing. Foto Bernama
Pegawai Pertahanan Daerah Besut, Kapt (PA) Ramlan Ros Wahid (tengah) melihat anggota APM Setiu, Ahmad Amiruddin Mat Yusof memeriksa ular sawa yang menelan seekor kambing. Foto Bernama

"APM mengambil masa kira-kira 10 minit untuk menangkap haiwan itu yang kekenyangan kerana menelan anak kambing, manakala bangkai seekor kambing betina dewasa berada berdekatan," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.

Mohd Nizu berkata, penternak itu memberitahu sebelum ini, hanya ayam peliharaannya yang pernah hilang dan kejadian kambingnya mati ditelan ular sawa merupakan kali pertama berlaku.

"Ular itu dibawa ke pejabat APM Setiu sebelum dibawa ke pejabat APM Besut untuk diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan ular terbabit kelaparan akibat kejadian banjir yang melanda daerah itu selama beberapa hari pada hujung minggu lepas.

Beliau juga menasihati orang ramai supaya berwaspada dengan kehadiran binatang liar dan berbisa pada musim ini kerana limpahan air di habitat semula jadi menyebabkan haiwan berkenaan keluar mencari tempat berlindung termasuk di kawasan rumah dan kandang haiwan ternakan. - Bernama