Kebakaran masjid, surau: Polis ambil keterangan 23 penduduk

No Image Caption
A
A
A

BATU PAHAT - Polis mengambil keterangan 23 penduduk Kampung Parit Simis Darat dan Parit Bangas Sri Medan di sini bagi membantu siasatan kejadian kebakaran di masjid serta surau di kampung itu yang berlaku pada pertengahan bulan ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, tindakan tersebut bagi membantu pihaknya mendapatkan maklumat berkaitan dua kejadian tersebut yang berlaku dua malam berturut-turut.

"Selain itu pihak polis sedang dalam proses mendapatkan laporan forensik daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi melengkapkan proses siasatan.

"Permohonan untuk mendapatkan laporan Forensik Bomba telah dibuat dan dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi.

Pada 14 Januari lalu, Masjid Kampung Parit Simis yang baru siap dibina pada November 2022 mengalami kerosakan teruk dengan kerugian dianggarkan lebih RM150,000 akibat kebakaran yang disedari pada jam 10.46 malam.

Pengerusi masjid itu, Mat Sunari Paiman dipetik berkata, pihak bomba yang menjalankan siasatan memaklumkan menemui kesan petrol di bawah permaidani, selain lidi penyapu yang dipercayai digunakan untuk menyalakan api.

Sehari selepas itu pula Surau Ar-Raudah musnah yang terletak tidak jauh dari masjid berkenaan terbakar pada jam 10 malam sekali gus tular dalam media sosial sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi.

Akibat kejadian itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api yang boleh dikenakan denda maksima penjara 20 tahun dan denda.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Ismail mengingatkan orang ramai tidak menimbulkan sebarang spekulasi bagi menjaga kesejahteraan dan keamanan awam.

Sebaliknya kata beliau, jika ada sebarang maklumat diminta tampil ke Balai Polis Sri Medan untuk menyalurkan maklumat.

Menurutnya lagi, siasatan berkaitan kejadian kebakaran di masjid dan surau itu masih berjalan dan berharap pelaku bertanggungjawab dapat dikenal pasti dalam masa terdekat.