X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada siapa selamat di BAM

Lee Zii Jia -Foto Bernama
A
A

PEMAIN perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia berasa tiada mana-mana pemain termasuk dirinya 100 peratus selamat untuk kekal di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika prestasi tidak memuaskan.

Pemain berusia 21 tahun yang kini menduduki ranking ke-14 dunia sedar bahawa dirinya harus bekerja keras untuk sentiasa menunjukkan peningkatan bagi mencapai prestasi yang ditetapkan oleh badan induk itu dalam memantapkan Projek 24.

“Berdasarkan pengumuman BAM, tiada siapa yang 100 peratus selamat di BAM. Pemain yang sama umur dengan saya (Tan Jia Wei) pun telah digugurkan, saya tak sangka dia akan dibuang.

“Jadi, walaupun ada pihak berkata saya paling selamat, tetapi saya masih sedar jika dalam setahun saya tidak mempunyai keputusan yang baik, saya kena bersedia untuk digugurkan,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan rasmi kejohanan Malaysia Masters 2020 di Axiata Arena hari ini.

Pada Jumaat lalu, BAM menggugurkan tujuh pemain iaitu Soong Joo Ven, Tan Jia Wei dan Ziyad Md Tah (perseorangan lelaki), Teo Ee Yi/Ong Yew Sin (beregu lelaki) dan Lim Peiy Yee serta Lim Chiew Sien (beregu wanita) yang tidak mencapai sasaran yang ditetapkan sehingga Disember lalu.

Zii Jia, pemenang pingat emas Sukan SEA juga mahu mencapai sasaran menduduki ranking 10 teratas dunia tahun ini selepas gagal mencapainya pada 2019.

Diundi menentang pemain nombor empat dunia, Anders Antonsen dari Denmark pada kejohanan yang berlangsung bermula Selasa hingga Ahad depan, Zii Jia mengharapkan kelebihan beraksi di laman sendiri membantunya mencipta kejutan selepas kecundang dalam kedua-dua pertemuan menentang pemain pilihan ketiga itu setakat ini.

“Memang semua pemain mahu mencipta kejayaan (untuk menang kejuaraan) di negara sendiri, tetapi saya nak mengambil selangkah demi selangkah dan tidak memberikan tekanan tinggi kepada diri,” katanya.

Sementara itu Ee Yi berkata, beliau dan pasangannya, Yew Sin sedang membuat perancangan mengenai masa depan mereka seperti pencarian dana dan penaja supaya terus kekal bersaing dalam tempoh kelayakan Sukan Olimpik yang akan berakhir pada akhir April.

“Oleh kerana baru sahaja digugurkan, kami ada sedikit masalah membuat perancangan, namun kami mahu mengucapkan terima kasih kepada BAM kerana telah memberikan kami segala-galanya dan menjaga kami lebih 13 tahun... Tanpa BAM, tiada kami. Kami akan terus berjuang hingga tempoh kelayakan tamat.

“Pemain senior seperti (bekas beregu lelaki kebangsaan) Tan Boon Heong, yang juga merupakan idola saya, dan (pemain profesional) Chan Peng Soon banyak membantu. Selepas ini mungkin kita akan menyertai latihan bersama beregu lelaki Goh V Shem/Tan Wee Kiong dan (beregu campuran) Peng Soon/Goh Liu Ying,” katanya. - Bernama