Tiga kanak-kanak lemas dalam kolam latihan tentera

Anggota bomba melakukan pencarian salah seorang mangsa yang disyaki hilang namun sebenarnya kanak-kanak itu tidak terlibat dalam kejadian lemas di kolam latihan kereta kebal dalam sebuah kem di Temerloh pada Jumaat.
Anggota bomba melakukan pencarian salah seorang mangsa yang disyaki hilang namun sebenarnya kanak-kanak itu tidak terlibat dalam kejadian lemas di kolam latihan kereta kebal dalam sebuah kem di Temerloh pada Jumaat.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Tiga kanak-kanak ditemui lemas dalam kolam sebuah kem tentera di Mentakab di sini pada Jumaat.

Mangsa, Aiman Syafiq Sudirman,11; Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, dan Muhammed Shafiq Aswad Shahril Naim, 11, dikenal pasti sebagai anak anggota di kem terbabit.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu disedari rakan mangsa yang kemudian meminta bantuan daripada dua anggota di kem itu.

"Anggota kem berkenaan melaksanakan pencarian awal kerana mengesyaki tiga kanak-kanak itu lemas di dalam kolam berdasarkan penemuan pakaian mereka di kawasan tersebut.

"Mangsa pertama, Aiman Syafiq ditemui jam 5.55 petang diikuti Muhammed Shafiq Aswad jam 6.10 petang dan Amar Mukhlis, kira-kira lima minit kemudian," katanya.

Mazlan berkata, ketiga-tiga mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Angkatan Tentera (PPAT) sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

"Mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) di sini untuk proses bedah siasat," katanya.

Menurutnya lagi, siasatan mendapati lokasi kejadian adalah kawasan larangan dan telah ditutup sebelum kejadian.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba pam air kolam bagi mengesan salah seorang mangsa yang disyaki hilang.
Anggota bomba pam air kolam bagi mengesan salah seorang mangsa yang disyaki hilang.

"Setakat ini kes dipercayai akibat lemas dan tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

"Mayat mangsa akan diserahkan kepada ahli keluarga masing-masing selepas selesai proses bedah siasat untuk dikebumikan di Bachok dan Pasir Puteh, Kelantan," katanya.

Dalam pada itu, Mazlan menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa memantau kegiatan anak masing-masing ketika musim banjir bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak di ingini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mentakab ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) dibantu anggota BBP Temerloh.

Menurutnya, ketika tiba di lokasi mendapati tiga mangsa yang dilaporkan lemas telah dihantar ke hospital menggunakan ambulan tentera.

"Pihak bomba meneruskan pencarian di lokasi kejadian termasuk mengepam air kolam sedalam 2.1 meter selepas dimaklumkan kemungkinan terdapat seorang lagi mangsa terlibat.

"Bagaimanapun, setelah pencarian dilakukan, kanak-kanak yang dikatakan hilang itu sebenarnya tidak terlibat dalam kejadian tersebut sebaliknya bermain di tempat lain," katanya.