Suami isteri direman tujuh hari bantu kes kematian kanak-kanak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula pada Jumaat bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun yang dipercayai menjadi mangsa dera.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, permohonan reman pasangan berumur kira-kira 20-an itu dibenarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

"Pasangan itu ditahan semalam di kediaman mereka di Projek Perumahan Rakyat Lembah Subang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat yang dijalankan mendapati terdapat unsur penderaan terhadap kanak-kanak terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Akta Kanak-kanak 2001.

Media pada Jumaat melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun maut selepas dibawa ke Hospital Shah Alam dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai didera.

Kanak-kanak malang itu dikatakan dihantar ke rumah suspek setiap kali ibu bapanya keluar bekerja. - Bernama

Artikel Berkaitan: