Tiga ahli Parlimen Bersatu Kelantan tidak akan sokong Anwar - Kamaruddin

Kamaruddin (kiri), Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Kamaruddin (kiri), Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan yakin tiga Ahli Parlimen negeri itu tidak akan menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor memberi jaminan terhadap perkara itu, sekali gus menepis dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal kononnya ada lagi Ahli Parlimen Bersatu negeri itu bakal berbuat demikian.

Menurut beliau, Bersatu Kelantan mempunyai lima Ahli Parlimen iaitu Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor; Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah); Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

“Dua mereka iaitu Gua Musang dan Jeli sudah berbuat demikian (sokong Perdana Menteri).

“Manakala tiga lagi, Ketereh, Tanah Merah dan Machang, saya berani jamin mereka tidak akan melakukan perkara sama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, pada Jumaat.

Kamaruddin berkata, beliau sudah pun berhubung dengan ketiga-tiga Ahli Parlimen berkenaan sebaik mengetahui kenyataan Syed Abu Hussin Hafiz menerusi akhbar.

Mengulas lanjut berhubung nama Ahli Parlimen Bersatu Kelantan yang terkait sama dalam dakwaan itu, beliau berkata, ia hanya serkap jarang.

“Saya bercakap bagi pihak Kelantan, tidak ada pun baki tiga Ahli Parlimen ini akan sokong Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

“Dakwaan tersebut hanya serkap jarang dan main teka-teka saja,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa tindakan Ahli Parlimen parti itu yang menyatakan sokongan kepada Anwar tersebut adalah keputusan individu dan bukan pendirian parti.

Tambahnya, mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan tidak lama lagi akan membincangkan agenda berhubung tindakan terhadap mereka yang menyokong Anwar.

“Mereka ini sudah membelakangkan kepimpinan Bersatu dan membuat keputusan secara individu,” katanya.