‘Hot Daddy’, dua rakan wanita didakwa iklankan khidmat persundalan

Hasli Ikhwan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, minggu lalu.
Hasli Ikhwan (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, minggu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bapa kepada tiga anak, yang tular di media sosial sebagai ‘Hot Daddy’ bersama dua rakan wanitanya berhubung suatu video lucah, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, minggu lalu.

Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, dan Norhidayah Mahadi, 24, yang bekerja sendiri serta pengurus syarikat swasta, Norshazrina Md Zamri, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan menggunakan aplikasi X di Pejabat D7 (Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Bukit Aman di sini, pada jam 10.10 pagi, 16 Januari lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372 (1) (e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama bawah Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abd Latif tidak mencadangkan ikat jamin kepada semua tertuduh.

“Sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, saya mencadangkan kadar itu ditetapkan sebanyak RM20,000 bagi setiap tertuduh.

“Jumlah itu sesuai kerana mengambil kira kepentingan awam selain pertuduhan kesalahan dikategorikan dalam jenayah yang serius,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Norhidayah (dua dari kiri) dan Norshazrina (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, minggu lalu.
Norhidayah (dua dari kiri) dan Norshazrina (dua dari kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk menghadapi satu pertuduhan membuat pengiklanan khidmat persundalan, minggu lalu.

Sementara itu, peguam, Mohd Faris Abrar Othman yang mewakili semua tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar yang minimum.

Menurutnya, tiada elemen menunjukkan mereka akan melarikan diri kerana anak guamnya merupakan rakyat tempatan malah keluarga mereka tinggal di sini.

“Hasli Ikhwan perlu menjaga bapanya yang mempunyai sejarah sakit buah pinggang selain mempunyai tiga anak berusia 12, 10 dan empat tahun.

“Norhidayah tiada pendapatan tetap sementara Norshazrina perlu menanggung ibunya yang mempunyai penyakit jantung,” katanya yang mengendalikan kes bersama peguam, Muhammad Faiz Mustafa.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Siti Aminah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Februari depan untuk serahan dokumen.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang lelaki dikesan menjalankan aktiviti menjual rakaman video seksnya dengan lebih 20 wanita pelbagai bangsa menerusi laman sosial ditahan di Janda Baik, Pahang.

Suspek ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), JSJ Bukit Aman di sebuah rumah di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang, pada jam 2.30 petang, 17 Januari lalu.

Dalam serbuan sama, polis menahan dua teman wanitanya di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki terbabit.