Bukit Aman berkas duda jual video ranjang

Suspek lelaki yang ditahan kerana disyaki mempromosikan aktiviti seksnya yang dirakam dan dijual untuk tontonan di Telegram.
Suspek lelaki yang ditahan kerana disyaki mempromosikan aktiviti seksnya yang dirakam dan dijual untuk tontonan di Telegram.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis berjaya membongkar kegiatan seorang duda yang menjual rakaman video seksnya bersama lebih 20 wanita di laman sosial dan mengaut keuntungan sehingga RM120,000 sejak enam bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, lelaki berusia 31 tahun itu ditahan di Kampung Janda Baik, Bentong Pahang pada jam 2.30 petang, Rabu.

"Suspek disyaki mempromosikan aktiviti seksnya yang dirakam dan dijual untuk tontonan di Telegram itu ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, dalam serbuan sama polis turut menahan dua teman wanita suspek berusia 23 dan 27 tahun di rumah yang turut didiami oleh bapa lelaki tersebut.

"Kita turut merampas lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua kad bank, dua helai baju dan sehelai cadar yang digunakan di dalam rakaman video," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek utama yang pernah dua kali berkahwin dan bercerai itu memulakan aktiviti menjual dan mempromosikan ubat kuat seks dari China menerusi platform media sosial sejak awal tahun lalu.

"Demi mengaut keuntungan lebih tinggi, suspek kemudian merakam video seks dengan teman wanitanya sebelum menjual adegan berkenaan dalam tiga saluran (channel) di aplikasi Telegram, sejak Julai tahun lalu.

Turut ditahan dua teman wanita suspek bagi membantu siasatan.
Turut ditahan dua teman wanita suspek bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Suspek juga yang disyaki mempunyai latar belakang seorang gigolo atau lelaki upahan, turut meniduri sebahagian pelanggan wanita dalam saluran aplikasi Telegram berkenaan," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, modus operandi yang digunakan suspek adalah membuat promosi di laman sosial.

"Kemudian pelanggan akan menekan satu pautan promosi yang diiklankan dalam Telegram oleh suspek sebelum urusan pembayaran dipersetujui.

"Setelah pembayaran dibuat, suspek akan menghantar pautan kepada pelanggan untuk terus menonton video lucah yang dilakonkan dan dirakam suspek sendiri," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati suspek mempunyai 2,051 pelanggan untuk pakej 200 video dengan bayaran RM100 dan 622 pelanggan untuk pakej RM20 sebulan bagi 13 video.

"Semua pelanggan aplikasi ini adalah rakyat Malaysia daripada golongan lelaki miang dan wanita kesunyian yang memiliki kerjaya dalam bidang profesional seperti doktor, usahawan dan sektor korporat," katanya.

Beliau berkata, ada antara wanita terbabit yang mempunyai keinginan untuk meniduri suspek turut ditawarkan syarat supaya hubungan intim dirakam untuk jualan seterusnya.

"Pada masa ini, suspek dan dua teman wanitanya yang ditahan turut dikesan melakonkan aksi lucah dalam video seks itu.

"Kita juga sedang mengesan wanita lain yang turut terbabit dalam puluhan rakaman video berkenaan," ujarnya.

Menurutnya, suspek bersama dua teman wanitanya dibenarkan ditahan reman selama lima hari bermula Khamis hingga Isnin bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372 (1)(e) Kanun Keseksaan atas kesalahan mempromosi aktiviti seks untuk mendapatkan keuntungan dan boleh dihukum penjara selama 15 tahun, sebatan dan denda sekiranya disabitkan kesalahan.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya.

Mohd Shuhaily berkata, kes seperti itu adalah yang pertama kali dikesan berlaku di negara ini dan harus dibanteras kerana dikhuatiri boleh merosakkan akhlak dan menyebabkan keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat.