Trio pengadil Malaysia pahat sejarah di Qatar

Nazmi (tiga dari kanan) bersama Zairul (kanan) dan Arif Shamil (kiri) mengadili perlawanan antara Iraq menentang Vietnam. Foto FB FAM
Nazmi (tiga dari kanan) bersama Zairul (kanan) dan Arif Shamil (kiri) mengadili perlawanan antara Iraq menentang Vietnam. Foto FB FAM
A
A
A

PENGADIL Malaysia, Muhammad Nazmi Nasaruddin bersama dua penolong pengadil, Mohamad Zairul Khalil Tan dan Mohd Arif Shamil Abd Rasid akhirnya diberi peluang 'beraksi' di Piala Asia Qatar apabila mengadili perlawanan terakhir Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam di Stadium Jassim Bin Hamad pada Rabu.

Ia merupakan perlawanan sulung trio pengadil tersebut di tengah padang sejak saingan Piala Asia 2023 bermula 12 Januari lalu.

Dalam perlawanan tersebut, Nazmi telah melayangkan satu kad merah pada babak pertama kepada pemain Vietnam, Van Khang Khuat dan tiga lagi layangan kad kuning kepada pemain kedua-dua pasukan.

Nazmi melayangkan kad kuning kepada pemain Vietnam.
Nazmi melayangkan kad kuning kepada pemain Vietnam.

Nazmi sebelum ini hanya ditugaskan sebagai sebagai pegawai keempat pada perlawanan China menentang Tajikistan (13 Januari) dan pertemuan Iraq dengan Jepun (19 Januari).

Zairul diletakkan sebagai penolong pengadil simpanan bagi perlawanan China-Tajikistan manakala Arif sebagai penolong pengadil simpanan bagi perlawanan Iraq-Jepun.

Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini menggesa Nazmi dan dua penolongnya itu supaya menampilkan prestasi terbaik di Piala Asia bagi memastikan nama mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dilantik bertugas pada Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat.

Nazmi diberi kepercayaan mengadili perlawanan terakhir Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam. Foto FB FAM
Nazmi diberi kepercayaan mengadili perlawanan terakhir Kumpulan D antara Iraq dan Vietnam. Foto FB FAM

Artikel Berkaitan:

"Pentas Piala Asia 2023 ini penting buat trio set pengadil dari Malaysia itu untuk mereka berada dalam senarai pendek pengadil dan penolong pengadil yang bakal dipilih untuk beberapa siri kursus dan ujian iaitu 'FIFA World Cup Candidate' sebagai syarat pemilihan secara merit bagi Piala Dunia 2026 di Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat," menurut kenyataan FAM.

Ketiga-tiga Pengadil FIFA tersebut merupakan di antara 35 pengadil dan 39 penolong pengadil yang terpilih untuk mengadili perlawanan di sepanjang kempen Piala Asia 2023 di Qatar bermula 12 Januari hingga 10 Februari 2024.