Tun Daim dituduh minggu depan

Tun Daim
Tun Daim
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan dituduh di mahkamah minggu hadapan, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Menurutnya, pertuduhan dibuat mengikut Akta SPRM 2009.

"Tindakan itu dilakukan SPRM sebaik sahaja pihak peguam kepada Tun Daim memaklumkan bekas pemimpin itu telah keluar dari hospital hari ini (Khamis).

"Pada peringkat ini, pegawai penyiasat dalam perbincangan bagi pertuduhan di mahkamah dikenakan terhadap beliau," katanya pada Khamis.

SPRM dalam kenyataan pada 30 Disember lalu memaklumkan siasatan terhadap bekas pemimpin itu berdasarkan maklumat Kertas Pandora sejak Februari tahun lalu.

Kenyataan itu memaklumkan, pada 7 Jun 2023 satu notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut.

Tun Daim telah disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Pada Selasa, isteri Tun Daim iaitu Toh Puan Na'imah Abdul Khalid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis SPRM dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.

Artikel Berkaitan: