'Dakwaan tersasar, tidak berasas'

Dr Mahathir sebelum ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pesurujaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sukar untuk disiasat. (Gambar kecil: Rosdi Amir)
Dr Mahathir sebelum ini mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pesurujaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sukar untuk disiasat. (Gambar kecil: Rosdi Amir)
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa golongan paling sukar untuk disiasat ialah mereka yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa tersasar dan tidak berasas.

Setiausaha Agung Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Rosdi Amir berkata, SPRM tidak pernah mempunyai dan melaksanakan polisi siasatan terpilih.

Ujarnya, sesiapa sahaja yang menyebabkan kerugian atau ketirisan dana kerajaan atau awam akan disiasat.

Menurutnya lagi, tohmahan seumpama itu terhadap SPRM sudah menjadi satu kelaziman pihak tertentu yang mempunyai agenda politik atau agenda lain.

"Faktanya, SPRM telah memulakan siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak pada 2015 ketika beliau masih menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Penyiasatan SPRM itu bermula pada Julai 2015 rentetan daripada beberapa aduan awam dan liputan media masa dalam negara serta antarabangsa berhubung dakwaan kemasukan wang dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadinya," katanya.

Kata beliau, pada akhirnya Najib telah dibawa ke muka pengadilan dan setelah melalui prosiding yang sah beliau telah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

"Bukan setakat itu, pada Julai 2018, SPRM juga telah menyiasat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi kes dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Artikel Berkaitan:

"Walaupun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram, namun siasatan baharu tidak pernah diumumkan sebagai berakhir," katanya.

Tegas Rosdi, itu tidak termasuk siasatan terhadap pelbagai pihak lain seperti menteri atau bekas menteri daripada pelbagai parti sama ada kerajaan atau pembangkang.

Isnin lalu, Dr Mahathir menafikan dakwaan bahawa beliau sukar disiasat oleh pihak berkuasa negara ini.

Namun, sebaliknya kata bekas Ahli Parlimen Langkawi itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Ahmad Zahid serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang sukar untuk disiasat.

Ujar Rosdi, dakwaan isu saham Azam Baki tidak disiasat adalah satu tohmahan kerana ia telah disiasat oleh enam badan dalaman, pemantau bebas dan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Sekuriti namun kesemua siasatan terhadap beliau mendapati tiada kesalahan telah dilakukan.

Mengulas lanjut, katanya, SPRM harus meneruskan siasatan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang diadukan kepada mereka mengikut peruntukan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkenaan tidak kira kes berkenaan melibatkan orang awan, ahli politik, orang kenamaan,individu bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri atau Tun.

"SPRM harus menjadi sebuah badan bebas yang diyakini oleh rakyat bagi menjadikannya profesional, relevan dan efisyen," jelas beliau.