Mangsa banjir gelombang keempat di Terengganu bertambah

Anggota penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Hulu Seladang, di Setiu pada petang Rabu. FOTO: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
Anggota penyelamat memindahkan mangsa banjir di Kampung Hulu Seladang, di Setiu pada petang Rabu. FOTO: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu pada petang Rabu bertambah kepada 113 orang berbanding seramai 63 mangsa yang direkodkan sehingga jam 8 pagi tadi.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, sehingga jam 6 petang tadi, sebanyak 43 keluarga dipindahkan ke lapan PPS di lima daerah terjejas banjir di negeri itu.

Antara daerah terkesan banjir ketika ini ialah Kemaman (7 mangsa), Dungun (26), Besut (14), Setiu (36) dan Hulu Terengganu (30).

Banjir yang melanda daerah Marang telah pulih sepenuhnya apabila tiga buah PPS yang dibuka di daerah berkenaan pada Selasa ditutup tengah hari tadi manakala tiada PPS dibuka di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang dilanda banjir kilat pada pagi Selasa.

Antara mangsa banjir yang dipindahkan setelah kediaman dinaiki air di Kampung Hulu Seladang, Setiu. FOTO: APM
Antara mangsa banjir yang dipindahkan setelah kediaman dinaiki air di Kampung Hulu Seladang, Setiu. FOTO: APM

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portalhttps://publicinfobanjir.water.gov.my/aras-air melaporkan tiga sungai di dua daerah di negeri itu telah melepasi paras bahaya sehingga jam 4 petang pada Rabu.

Dua sungai di Setiu iaitu Sungai Chalok di Jambatan Chalok merekodkan bacaan setinggi 8.58 meter (m) melebihi paras bahaya 8.40 m serta Sungai Nerus di Kampung Langkap setinggi 18.74 m (paras bahaya 17.50 m).

Pasukan penyelamat meredah banjir bagi memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat. FOTO: APM
Pasukan penyelamat meredah banjir bagi memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat. FOTO: APM

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu di daerah Hulu Terengganu merekodkan bacaan 22.29 m melebihi paras bahaya 21 meter.

Selain itu, empat sungai di tiga daerah lain merekodkan bacaan melebihi paras amaran iaitu Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dan Sungai Tumpat di Kampung Kemasik serta Sungai Tebak di Jambatan Tebak masing-masing di daerah Kemaman.

Anggota penyelamat membantu memindahkan warga emas di Kampung Hulu Seladang, Setiu ke PPS berdekatan. FOTO: APM
Anggota penyelamat membantu memindahkan warga emas di Kampung Hulu Seladang, Setiu ke PPS berdekatan. FOTO: APM

Banjir gelombang keempat kembali melanda Terengganu setelah hujan lebat berterusan berlaku sejak petang Isnin.