Qatar lakar rekod bersih

Para pemain Qatar meraikan kejayaan menumpaskan China 1-0 dalam saingan Kumpulan A Piala Asia di Doha awal pagi Selasa. Foto AFP
Para pemain Qatar meraikan kejayaan menumpaskan China 1-0 dalam saingan Kumpulan A Piala Asia di Doha awal pagi Selasa. Foto AFP
A
A
A

TUAN rumah Piala Asia 2023, Qatar melakar sensasi apabila memahat rekod kemenangan bersih tiga perlawanan untuk mengesahkan tiket ke saingan kalah mati di Doha awal pagi Selasa.

Kejayaan skuad bimbingan Tintin Marques itu diraih selepas menumpaskan China 1-0 dalam aksi di Stadium Antarabangsa Khalifa.

Kemenangan tersebut menyaksikan Qatar mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan sambil China pula berisiko tersingkir dengan hanya dua mata untuk menghuni tempat ketiga.

Kedua-dua pasukan berpeluang membuka tirai jaringan pada babak pertama dengan sepakan pemain sayap China, Wei Shihao pada minit ke-36 dinafikan oleh penjaga gol tuan rumah, Saad Al Sheeb.

Rembatan Khalid Muneer pula sedikit tersasar di kanan gawang pada minit ke-43, manakala tandukan Zhang Yuning berpunca sepakan sudut turut melewati palang gol pada penghujung separuh masa pertama.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai apabila duo pemain gantian menjadi duri dalam daging buat China.

Kemasukan pemain sensasi, Akram Afif dan Hassan Al Haydos pada minit ke-64 ternyata memberi impak besar apabila mereka tidak menunggu lama untuk meledak gol kemenangan pasukan dua minit kemudian.

Sepakan penjuru yang diambil Akram Afif menemui Hassan di luar kawasan penalti sebelum penyerang itu melepaskan rembatan voli ke penjuru atas gawang lawan untuk mengesahkan kemenangan tipis pasukan tuan rumah.

Artikel Berkaitan:

Qatar yang sudah mengesahkan kemaraan lebih awal diiringi Kyrgyzstan selaku naib juara Kumpulan A selepas mengalahkan Lubnan 2-1 dalam satu lagi perlawanan.

China dalam pada itu, perlu menunggu keputusan kumpulan-kumpulan lain dalam perebutan tempat selaku empat pasukan di tempat ketiga terbaik.


Jankovic bersedia dipecat sebagai jurulatih China

Sementara itu, jurulatih China, Aleksandar Jankovic sedia menerima sebarang kemungkinan termasuk kehilangan jawatan selepas skuad bimbingannya kalah kepada pasukan tuan rumah, Qatar dalam aksi Kumpulan A Piala Asia 2023 di Doha awal pagi Selasa.

Kekalahan itu mengundang risiko China gagal meneruskan langkah ke saingan kalah mati kejohanan tersebut.

Jankovic dilihat tenang dan enggan berasa bimbang jika berdepan dengan tindakan pemecatan kerana sudah bersedia menerima segala keputusan sejak hari pertama dilantik mengendalikan pasukan tersebut.

“Ada dua jenis jurulatih iaitu mereka yang telah dipecat dan mereka yang akan dipecat. Jadi apabila anda menerima untuk melakukan pekerjaan ini, anda perlu menerima kedua-duanya.

“Orang yang memikirkan ketika dia akan dibuang kerja ialah orang yang takut dengan segala-galanya.

“Lelaki yang takut dengan segala-galanya tidak boleh menjadi jurulatih yang perlu memberi fokus untuk memberikan segala-galanya. Melakukan yang terbaik buat pasukan,” ujar Jankovic.

Dalam aksi menentang Qatar, jaringan tunggal penyerang tuan rumah, Hassan Al-Haydos sudah cukup untuk mengecewakan China yang dilihat lebih agresif mengasak sepanjang perlawanan.

China yang mengutip dua mata masih berpeluang layak ke saingan kalah mati sebagai pasukan di kedudukan ketiga terbaik.

Namun mereka perlu berharap Oman, Syria dan Palestin tewas pada perlawanan terakhir kumpulan masing-masing.