Inisiatif Veteran MyWIRA bantu pesara ATM bekerja selepas bersara

Steven (empat dari kiri) dan Adly (empat dari kanan) melancarkan Program Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Spice Arena pada Isnin.
Steven (empat dari kiri) dan Adly (empat dari kanan) melancarkan Program Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Spice Arena pada Isnin.
A
A
A

BAYAN BARU - Seramai 3,000 hingga 5,000 anggota tentera di seluruh negara dikesan tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas tidak lagi berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Majoriti dalam golongan tersebut masih muda dengan lingkungan usia 32 hingga 40 tahun dan tidak berpencen.

Sehubungan itu, inisiatif Veteran MyWIRA dilancarkan oleh kerajaan dalam usaha untuk meningkatkan kesejahteraan sosio-ekonomi dan memastikan persaraan yang bermaruah veteran ATM.

Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menggalas mandat dalam memperkukuh ekosistem bakat Malaysia telah menjalinkan hubungan kerjasama dengan Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT) yang bertanggungjawab sebagai penggerak kerjaya kedua untuk veteran ATM.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, projek rintis tersebut sejajar dengan prinsip pekerjaan yang bermakna dalam kerangka ekonomi Madani.

Menurutnya, selain itu, ia selaras dengan tiga tunjang asas yang diterapkan dalam kementerian iaitu memperkukuh kebajikan pekerja, meningkatkan kemahiran serta meningkatkan produktiviti tenaga kerja.

Steven (tiga dari kiri) dan Adly (tiga dari kanan) bergambar bersama veteran ATM yang hadir.
Steven (tiga dari kiri) dan Adly (tiga dari kanan) bergambar bersama veteran ATM yang hadir.

"Veteran ATM memiliki kepakaran berharga dengan kemahiran khusus dan terpakai serta-merta yang diperlukan dalam sektor seperti elektrikal dan elektronik (E&E ) dan aeronautik.

Artikel Berkaitan:

"Gaya hidup mereka yang tersusun dalam tentera menjadikan tahap disiplin, profesionalisme dan berkomitmen tinggi yang mana, ia satu kualiti yang dicari oleh majikan.

“Melalui Program Veteran MyWIRA, veteran ATM akan dapat meningkatkan kemahiran mereka selaras dengan permintaan pasaran pekerjaan dan peralihan bagi penyesuaian dalam sektor swasta," katanya pada Majlis Pelancaran Program Veteran MyWIRA di Pusat Konvensyen Spice Arena di sini pada Isnin.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari dan lebih 650 hadirin lain termasuk pelatih ATM PERHEBAT, veteran ATM serta pemain industri.

Kata Steven, inisiatif tersebut akan memperkasakan veteran ATM dalam membuat sumbangan besar kepada ekonomi negara, meningkatkan kebolehpasaran mereka serta meningkatkan kualiti hidup mereka secara keseluruhan.

"Pada terasnya, pendekatan ini merangkumi prinsip memastikan 'no one gets left behind'. Inisiatif ini akan menumpukan kemahiran dan pekerjaan yang dipacu industri dalam sektor swasta.

"Sebagai projek rintis, sebuah syarikat yang meneraju ekosistem semikonduktor Malaysia, Micron Memory Malaysia Sdn Bhd (Micron) turut memberikan kerjasama dan memanfaatkan kemahiran unik veteran ATM untuk mengisi kekosongan jawatan dalam pasaran kerja.

"Inisiatif Veteran MyWIRA ini merupakan kerjasama pertama Kementerian Sumber Manusia melalui TalentCorp, bersama Kementerian Pertahanan Malaysia," tambah beliau lagi.

Kata Steven, PERHEBAT dan Micron akan menyediakan 25 peluang pekerjaan dalam pelbagai jawatan contohnya jurutera, juruteknik, dan penyelia.

Jelas Steven, inisiatif tersebut mensasarkan 5,000 pekerjaan berkualiti setiap tahun dengan gaji yang lumayan untuk dipadankan kepada pesara tentera.

"Selain Micron, di peringkat rintis ini juga, Talent CORP juga akan memadankan para pesara tentera kepada lebih kurang 500 pekerjaan berkualiti di seluruh negara. Mereka akan ditawarkan gaji bulanan antara RM2,900 hingga RM4,200 bergantung kepada jenis pekerjaan.

"Saya berharap jika program rintis Veteran MyWira ini berjaya, dalam masa satu hingga dua tahun lagi, kita sasarkan untuk memadankan pesara tentera kepada lebih 5,000 pekerjaan berkualiti setiap tahun dengan gaji yang lumayan," katanya.

Sementara itu, Adly berkata, seramai 24,000 pesara tentera dalam pemantauan PERHEBAT yang mana, hanya 19,000 dapat dihubungi, dengan 6,000 tentera bersara setiap tahun.

"Program ini merupakan langkah proaktif Kerajaan Madani dalam menangani cabaran yang dihadapi oleh anggota yang bakal bersara serta warga veteran ATM.

"Langkah ini bertepatan dengan matlamat kerajaan untuk memastikan setiap pihak, kerajaan dan swasta mengambil tanggungjawab dan peranan masing-masing untuk membela nasib veteran ATM agar mereka dapat meneruskan kehidupan serta menyumbang secara bermakna kepada masyarakat dan negara," katanya.

Tambahnya, untuk tempoh 2017 hingga 2023, seramai 4,752 anggota dan veteran ATM telah berjaya menerima Diploma Kemahiran Malaysia dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia di bawah seliaan PERHEBAT.