Anggota tentera mengaku tak salah cederakan dua individu

Mohd. Affizzu (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini, pada Isnin.
Mohd. Affizzu (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Seksyen di sini, pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Seorang anggota tentera berpangkat pegawai waran didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, pada Isnin, atas tuduhan mendatangkan kecederaan ketika cuba meleraikan pergaduhan membabitkan dua individu pada tahun lalu.

Mohd. Affizzu Che Aziz, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di dua mahkamah berasingan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam dan Mohd. Sabri Ismail.

Berdasarkan kedua-dua pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap Ajik Rasap, 37, dan Nasri Basar, 26, menggunakan objek tajam disyaki sebilah pisau (dagger) kira-kira jam 11.30 malam di Blok C Pangsapuri Cheng Ria, di sini, pada 16 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Kejadian difahamkan berlaku selepas tertuduh menegur kedua-dua lelaki terbabit yang dikatakan membuat bising di bawah pangsapuri berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari dan Muhamad Nazrin Ali Rahim mencadangkan agar jaminan RM35,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan.

Peguam Omar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan itu dikurangkan mengambil kira tertuduh tidak pernah disabitkan sebarang kes jenayah selain perlu menyara dua orang isteri dan enam anak.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 berserta syarat tambahan tidak boleh mendekati mangsa atau saksi pendakwaan serta melaporkan diri kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, sekali dalam sebulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 30 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!