Amalan makan tengah malam, makanan segera punca serangan jantung


Gambar hiasan 123RF
Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kerap mengambil makanan pada waktu tengah malam menjadi antara punca seorang juruteknik, Hafis Jamaludin, 37, disahkan menghidap sakit jantung dua tahun lalu.

Menurutnya, dia tidak mempunyai sejarah keluarga yang menghidap sakit jantung, namun amalan makan tidak mengikut waktu dan pengambilan banyak makanan berminyak menyebabkan dia terpaksa menerima kenyataan tersebut.

"Pada mulanya saya mengalami simptom pedih ulu hati, sakit urat belikat dan tangan kiri kebas. Semua itu dirasai serentak.

"Apabila terlalu kerap sakit saya terpaksa menyerah diri ke hospital. Doktor sahkan saya diserang sakit jantung akibat gaya pemakanan dan rokok berlebihan," katanya kepada Sinar Ahad.

Hafis
Hafis

Ujar Hafis yang bertugas di Tenaga Nasional Berhad di Manjung, Perak itu, dia kini terpaksa mengambil ubat yang banyak setiap hari.

"Pesan saya, jika anda mengalami simptom seperti saya atau kaki dan tangan kiri sentiasa kebas, segeralah ke klinik untuk membuat pemeriksaan.

"Itu adalah tanda-tanda awal serangan jantung. Selain itu, kurangkanlah pengambilan makanan waktu tengah malam dan paling penting jauhi rokok," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Siti Munirah
Siti Munirah

Seorang surirumah, Siti Munirah Latif, 30, pula tidak menyangka gaya hidupnya yang kurang bersenam dan tidak menjaga kuantiti makanan diambil menjadi punca utama terkena serangan jantung seawal usia 27 tahun.

"Pada Disember 2021, saya merasa sakit di bahagian tengah dada. Sakit itu makin lama semakin kuat. Esoknya saya buat keputusan untuk pergi klinik.

"Selepas doktor buat pemeriksaan elektrokardiogram (ECG) dan maklumkan keputusan saya tak cantik, ada tanda-tanda serangan jantung.

"Saya dirujuk ke hospital. Doktor sahkan saya terkena serangan jantung tahap dua," jelasnya.

Mengambil iktibar daripada kejadian itu, Siti Munirah berkata, dia kini berusaha mengamalkan senaman sekurang-kurangnya dua kali seminggu selain mengambil keputusan berhenti mengambil gula serta menjaga pengambilan kuantiti makanan dengan mengikut panduan makan suku suku separuh.

Siti Munirah juga berpesan supaya orang muda tidak takut untuk tampil membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya sekali dalam setahun.

"Kadang-kadang orang ingat serangan jantung ini hanya terkena kepada orang tua atau obesiti, tapi sebenarnya tidak.

"Luanglah masa dan belanjakan sedikit wang untuk membuat pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh," katanya.


Mohd Yusri
Mohd Yusri

Sementara itu, penyelia tapak, Mohd Yusri Abd Mutalib, 41, berkata, dia sememangnya mempunyai sejarah keluarga yang mengidap penyakit itu, namun faktor permakanan iaitu roti canai danmakanan segera menyebabkan dia mendapat serangan jantung pada usia 38 tahun.

Katanya, walaupun aktif dalam sukan badminton, risiko serangan jantung tetap ada.

"Jika dulu makan roti canai setiap minggu, sekarang tidak lagi. Saya sudah kurangkan pengambilan nasi, mi, tepung, gula dan air manis. Makan malam pun sebelum jam 7 petang.

"Selepas membuat kaedah angioplasti, saya sudah boleh buat kerja macam biasa dan bersukan seperti sebelumnya.

"Selain bersenam saya juga amalkan suplimen untuk menjaga kesihatan jantung namun tetap mengambil ubat hospital seperti biasa," katanya.