Hannah tabik pemain ke-12 Harimau Malaya

Hannah bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika meninjau sesi latihan pemain Harimau Malaya menjelang aksi menentang Bahrain pada Piala Asia 2023 di Universiti Qatar pada Jumaat. Foto Bernama
Hannah bersama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin ketika meninjau sesi latihan pemain Harimau Malaya menjelang aksi menentang Bahrain pada Piala Asia 2023 di Universiti Qatar pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan pemain ke-12 yang datang ke Qatar bagi menyokong pasukan bola sepak negara dalam Piala Asia 2023 sebagai penyokong terbaik dunia.

Malah, Hannah yang memuji pengorbanan penyokong-penyokong Harimau Malaya menjangkakan lebih ramai pemain ke-12 akan hadir menyaksikan aksi Kumpulan E, menentang Bahrain pada Sabtu.

“Saya berada di Doha bagi melihat persiapan skuad Harimau Malaya untuk perlawanan menentang Bahrain esok (Sabtu).

“Saya juga menjangkakan orang ramai akan menyokong pasukan negara di stadium esok kerana penerbangan saya penuh dengan penyokong-penyokong.

"Saya rasa skuad Harimau Malaya mempunyai penyokong-penyokong terbaik di dunia kerana yang datang atas kos sendiri dan ambil cuti untuk menyokong mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di Universiti Qatar pada Jumaat.

Dalam pada itu, Hannah berkata, kejuaraan edisi Qatar 2023 merupakan temasya yang sangat penting untuk pasukan negara apabila layak secara merit buat kali pertama dalam 42 tahun.

“Dalam mesej saya kepada pasukan dan pemain, mereka kena buat terbaik bukan untuk negara sahaja tetapi diri mereka sendiri dan keluarga," katanya.

Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon selepas tewas 0-4 kepada Jordan akan berdepan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad dengan misi tiga mata bagi menghidupkan peluang ke pusingan 16 terbaik.

Artikel Berkaitan: