AMK minta tetapkan tarikh peralihan jawatan PM

Akmal Nasrullah
Akmal Nasrullah
A
A
A

SHAH ALAM - Sekretariat Pakatan Harapan (PH) disaran agar memastikan Mesyuarat Majlis Presiden PH akan datang dapat membuat ketetapan tarikh peralihan jawatan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda PH, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Akmal berkata, AMK menyambut baik kenyataan dikeluarkan Ketua Setiausaha Sekretariat PH berkenaan komitmen untuk pelaksanaan manifesto dan juga muafakat PH pada 6 Januari 2018 untuk mengangkat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 selepas Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Namun, pada masa sama persetujuan agar peralihan berlaku dalam tempoh dua tahun PH menjadi kerajaan iaitu sejak Mei 2018 perlu diperincikan bagi menjamin kelangsungan agenda PH.

"Kita seharusnya berterima kasih dan menghormati keputusan peletakkan jawatan menteri (pendidikan) oleh Dr Maszlee Malik dan sebelum ini jawatan Menteri Besar Johor oleh Datuk Osman Sapian.

"Pengalaman ini menunjukkan bahawa pertukaran boleh berlaku dengan baik dan harmoni dalam pentadbiran Pakatan Harapan," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Akmal yang juga merupakan Ahli Parlimen Johor Baharu itu percaya penetapan tarikh peralihan kuasa itu akan mencerminkan kesepakatan yang utuh dalam PH dan seterusnya mematahkan persepsi pergolakan dalam PH yang sering dimainkan pihak pembangkang.

Artikel Berkaitan: