Pas terima desakan letak calon PRK Cameron Higlands

Rosli
Rosli
A
A
A



KUANTAN- Pas Pahang mengakui menerima desakan daripada ahli akar umbi yang mahu Pas meletakkan calon pada PRK Cameron Hinglands, namun keputusan muktamad sudah dibuat pucuk kepimpinan parti.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh Pas Pusat.

Menurutnya, ini kerana Pas Pusat sudah mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan untuk tidak bertanding.

“Kenyataan rasmi mengenai pendirian Pas dalam PRK Cameron Highlands dah dibuat oleh Setiausaha Agung parti, Datuk Takiyuddin Hassan pada 19 Disember lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.



Takiyuddin dalam kenyataan media pada 19 Disember lalu, mengumumkan parti itu memutuskan tidak akan bertanding pada PRK Cameron Highlands dan akan memfokuskan usaha memperkuatkan blok pembangkang di Dewan Rakyat.


PRK itu diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada PRU14 terbatal ekoran berlakunya rasuah.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian ‪pada 26 Januari‬ dengan hari penamaan calon ‪pada 12 Januari‬ dan mengundi awal ‪pada 22 Januari‬.

Pada PRU14, Sivarraajh yang juga Naib Presiden MIC mewakili BN menang di kerusi Parlimen Cameron Highlands membabitkan saingan lima penjuru dengan majoriti 597 undi.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai bantuan kempen kepada pembangkang pada PRK Cameron Highlands ‪pada 26 Januari‬ ini, Rosli berkata, pihaknya masih menunggu arahan daripada ibu pejabat parti itu.

Menurutnya, masih ada keputusan rasmi dari kepimpinan parti, sama ada akan turut membantu kempen pembangkang pada pilihan raya itu atau pun tidak.

“Kita (Pas Pahang) sedia menggerakkan jentera untuk membantu kempen pembangkang. Itu pun sekiranya mendapat arahan daripada Pas Pusat.

“Tapi setakat ini, kita belum menerima sebarang arahan... jadi, kita tunggulah dulu arahan daripada mereka (Pas Pusat),” katanya.