'Mukbang' Malaysia trending di YouTube

Nur Muhammad Izzat Osman mencuba 10 jenis burger untuk dimakan untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama
Nur Muhammad Izzat Osman mencuba 10 jenis burger untuk dimakan untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Nama Nur Muhammad Izzat Osman mungkin asing kepada umum tetapi jika pernah menonton IsaacOsmanTV di YouTube sudah tentu ramai yang mengenalinya kerana menghasilkan videonya makan dalam kuantiti yang begitu banyak atau disebut sebagai mukbang.

Perkataan mukbang diambil daripada bahasa Korea yang sebelum ini video seperti itu hanya dihasilkan oleh penduduk negara berkenaan sebelum mendapat perhatian rakyat dari negara lain seperti Malaysia.

Jika pernah melihat videonya memakan 10 biji burger sekali gus, anda mungkin mengatakan gilanya lelaki ini tetapi inilah cara Nur Muhammad Izzat memberi kelainan dalam menghasilkan video yang disebut netizen sebagai satu-satunya mukbang Malaysia.

Mempunyai lebih 300,000 pengikut di YouTube, Nur Muhammad Izzat sanggup menghabiskan wang beratus ringgit membeli makanan atau minuman yang bersamaan antara 2,500 hingga 4,500 kalori dan videonya pernah ditonton lebih sejuta pelayar.

Nur Muhammad Izzat Osman mencuba Minuman Manis Susu Kocak yang diminum untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama
Nur Muhammad Izzat Osman mencuba Minuman Manis Susu Kocak yang diminum untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama

"Setiap minggu saya akan menghasilkan sekurang-kurangnya tiga video bagi review makanan dengan cara memakan makanan dalam kuantiti yang banyak atau lebih dikenali sebagai mukbang.

"Video pertama saya dihasilkan pada Ogos tahun lepas dengan makan 10 cup (bekas) mi pedas ramen pelbagai produk dengan memberikan komen apa istimewanya mi pedas yang menjadi kegilaan golongan muda ketika itu dan selepas itu nama saya semakin dikenali sebagai mukbang Malaysia," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Berusia 31 tahun dan bekerja sebagai pereka bentuk gerai pameran berkata, sebagai seorang yang gemar berlari, berjoging, mendaki bukit dan mengayuh basikal, budaya makan banyak adalah sebati dengan dirinya kerana selepas bersukan, beliau sentiasa lapar dan makan dengan banyak.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu makan dalam kuantiti banyak ini tidak menjadi masalah buat saya dan ini kelainan yang saya paparkan dalam setiap video saya," katanya.

Beliau berkata, walaupun makan dalam kuantiti banyak, kesihatan tetap menjadi keutamaan dirinya yang akan memastikan beliau kerap bersukan bagi membakar kalori.

"Contohnya, saya akan bersukan pada waktu malam dan disambung berkayuh basikal ulang-alik ke pejabat sejauh 18 kilometer setiap hari serta melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala dan alhamdulillah setakat ini saya masih sihat.

"Ramai tidak tahu sebelum menghasilkan video, satu hari sebelum itu saya tidak akan makan yang berat dan akan bersenam selepas itu," katanya.

Mengakui keluarga dan isterinya, Izzati Mazlan pada mulanya terkejut apabila dirinya boleh memakan begitu banyak namun akhirnya merekalah yang menjadi pendorong buat Nur Muhammad Izzat menghasilkan video mukbang seterusnya.

Menafikan mempunyai persamaan dengan personaliti YouTube lain seperti Matt Stonie yang turut menghasilkan video sedemikian, Nur Muhammad Izzat berkata, apa yang dilakukan beliau hanyalah secara suka-suka sahaja dan bukan hanya video makan sahaja dihasilkan tetapi merakamkan juga aktivitinya bersukan.

Nur Muhammad Izzat Osman mencuba Makan Korea di Jeju Korea untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama
Nur Muhammad Izzat Osman mencuba Makan Korea di Jeju Korea untuk saluran YouTube beliau Isaac Osman di sini. - Foto Bernama

"Kalau lihat video saya bukan semuanya memakan makanan secara mukbang malah ada juga yang makan secara biasa dan pelbagai aktiviti saya bersukan," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini beliau telah menghasilkan lebih 500 video melalui rangkaiannya itu dan telah ke Korea Selatan, Indonesia dan beberapa negara jiran lain untuk merakamkan video makanan rakyat negara berkenaan.

"Alhamdulillah sehingga kini tidak ada mana-mana syarikat produk makanan ini yang membantah komen saya terhadap produk mereka malah ada yang memberikan feed back yang baik terhadap usaha saya ini," katanya.

Antara produk makanan yang diberikan komen Nur Muhammad Izzat ialah Mc Donald's, Kentucky Fried Chicken, sushi, produk minuman tenusu, burger jalanan dan banyak lagi.

"Pemilihan makanan untuk video ini akan diberi penelitian yang hanya makanan yang tertentu dan trending sahaja yang akan dipilih dan jika tidak saya akan meminta isteri yang masakkan makanan tertentu untuk divideokan," katanya.

Beliau berkata, kini banyak menerima jemputan restoran seluruh negara untuk beliau memberi komen namun beliau hanya akan memilih restoran tertentu sahaja untuk berbuat demikian.

"Saya seorang yang jujur untuk memberikan komen terhadap makanan yang saya makan," katanya.

Anak muda berasal dari Gerik, Perak ini mahu menghasilkan video yang lebih kreatif dan akan memilih beberapa negara lain lagi untuk menghasilkan video mukbang ini pada masa hadapan.

Apa pun beliau tidak mahu orang lain mengikut caranya makan kerana yang penting adalah makan secara sihat dan mesti mendapat nasihat pakar pemakanan terlebih dahulu.- Bernama