Penghantaran mahal, rakyat dirayu kembali beli makanan di kedai

Samenta gesa rakyat Malaysia membuat pembelian secara terus di premis makanan bagi membantu pengusaha. (Foto hiasan) Gambar kecil: William Ng
Samenta gesa rakyat Malaysia membuat pembelian secara terus di premis makanan bagi membantu pengusaha. (Foto hiasan) Gambar kecil: William Ng
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persatuan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) menggesa rakyat Malaysia membuat pembelian secara terus di premis makanan sama ada untuk makan atau bungkus bagi membantu pengusaha keluar daripada 'lingkaran pemangsaan' penyedia aplikasi platform penghantaran.

Gesaan Samenta itu dibuat oleh Presidennya, Datuk William Ng di tengah kemuncak keluhan pengusaha makanan yang mungkin dipaksa membayar komisen lebih tinggi berikutan semakan semula kadar bayaran oleh platform penghantaran makanan dan barangan kepada pemandu mereka.

Kata William, para pengusaha restoran dan premis makanan sangat mengharapkan rakyat Malaysia kembali kepada era sebelum kewujudan aplikasi penghantaran kerana dengan cara itu dapat membantu mereka mengurangkan kos jualan sekali gus menawarkan harga yang lebih rendah kepada pengguna.

Sedangkan dakwanya, di aplikasi penghantaran makanan, harga jualan terpaksa dinaikkan antara 30 hingga 100 peratus bagi menampung pembayaran komisen.

"Pada masa ini, peniaga dikenakan komisen sehingga 32 peratus bagi setiap pesanan. Apabila kos 'promosi' dan 'yuran pemasaran' diambil kira; komisen ini boleh mencapai sehingga 60 peratus daripada setiap jualan.

"Oleh itu, seorang peniaga mungkin hanya menerima RM1.20 untuk sebungkus nasi lemak yang berharga RM3. Oleh kerana industri platform penghantaran ini mirip monopoli, peniaga dan pengguna mempunyai pilihan yang terhad dan terpaksa membayar apa saja yang diminta oleh pemilik platform.

"Ini adalah sebab mengapa kebanyakan peniaga terpaksa menaikkan harga jualan makanan dan barangan di antara 30 hingga 100 peratus di platform-platform ini untuk menampung komisen yang dibayar kepada platform demi mendapatkan sedikit keuntungan dari setiap pesanan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, William turut membangkitkan kemungkinan kewujudan monopoli dalam industri penghantaran makanan andai benar laporan mengatakan terdapat usaha mengambil alih sebuah syarikat aplikasi penghantaran, juga oleh syarikat yang menyediakan perkhidmatan sama.

Artikel Berkaitan:

Dakwa beliau, situasi platform penghantaran ketika ini adalah duopoli dan jika pengambilalihan itu benar berlaku, ia mungkin akan menjadi monopoli yang kuat hinggakan berpotensi merugikan pengguna dan peniaga.