Kerajaan sedia buat penilaian perbaiki perkhidmatan

Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada sidang media sempena pemukiman bersama Jemaah Menteri di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada sidang media sempena pemukiman bersama Jemaah Menteri di sebuah hotel hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Kerajaan bersedia membuat penilaian untuk memperbaiki perkhidmatan kepada rakyat sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia menjadi tema kepada perbincangan bersama 31 menteri dan pegawai kanan kerajaan pada program Pemukiman Jemaah Menteri.

"Matlamatnya untuk meningkatkan keupayaan kita memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat, memacu ekonomi negara dan memaknai falsafah negara Madani agar Malaysia menjadi lebih hebat," katanya pada sidang akhbar selepas sesi Pemukiman Jemaah Menteri di sini pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Menurutnya, sesi pemukiman yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu itu turut menekankan perpaduan rakyat dan kestabilan politik.

"Kemudiannya kita bicara soal ekonomi untuk menambah pelaburan domestik dan luar negara. Beberapa isu khusus seperti meningkatkan mutu pendidikan termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) dan digital turut dibincangkan.

"Format pemukiman kali ini berbeza, kita tidak meminta menteri atau pandangan kerajaan tetapi mendapatkan input daripada sektor swasta, ilmuan, penyelidik tempatan dan antarabangsa.

"Saya, Timbalan Perdana Menteri dan KSN memberikan satu senario bahawa pemukiman ini ambil sikap terbuka, sedia mendengar pandangan, teguran kritikan dan cadangan baharu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, semua peruntukkan yang diumumkan pada Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu telah pun disalurkan kepada setiap kementerian bagi membolehkan projek terbabit dilaksanakan segera.

"Isu yang kita bangkitkan dan diutarakan oleh KSN adalah memastikan projek yang diumumkan tidak seharusnya tunggu seperti proses sebelum ini iaitu selepas suku pertama (tahun), ia harus dimulakan sekarang," jelasnya.

Mengulas mengenai hala tuju ekonomi negara bagi tahun ini, Anwar berkata, perkara paling utama adalah kestabilan politik diikuti dasar yang jelas.

Beliau berkata, kerajaan juga sudah melaksanakan beberapa inisiatif dan program yang perlu dikoordinasi oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan Dan Industri (MITI) dan tindakan susulan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

“Ini menjadi aduan utama yang diutarakan oleh pelabur berpotensi dari China dan Amerika Syarikat (AS) dalam banyak pertemuan saya bersama mereka sebelum ini," ujarnya.

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan pembangkang bahawa program pemukiman ini mengurung menteri, Anwar berkata, perkara itu tidak menimbulkan sebarang isu.

"Untuk menjimatkan kos, menteri diarahkan untuk pulang tidur di rumah masing-masing. Isu ini jangan minta saya ulas, memadailah Ketua Keadilan Segambut," katanya.