Pengganti CEO KWSP akan diumumkan dalam masa terdekat

A
A
A

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan akan mengumumkan pengganti bagi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam masa terdekat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, senarai beberapa calon telah dikemukakan kepada pihaknya.

"Seperti biasa ia akan mengambil sedikit masa kerana perlu melalui tapisan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," katanya menerusi sidang akhbar sempena sesi Permukiman Jemaah Menteri di sini pada Khamis.

Kekosongan jawatan CEO KWSP itu berlaku selepas penyandangnya, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dilantik Menteri Kewangan II dalam rombakan Kabinet 12 Disember lalu.

Amir merupakan teknokrat kedua di Kementerian Kewangan yang mempunyai latar belakang korporat selepas bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang pernah berkhidmat sebagai CEO Kumpulan dan Pengarah Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd dari 27 Februari 2015 hingga 9 Mac 2020.

Antara nama-nama yang disebut dalam laporan media sebelum ini sebagai pengganti Amir adalah bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Azman Mokhtar; Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein dan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!