Lima lelaki ditahan gaduh guna kayu depan restoran

Tangkap layar video yang tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran di Bandar Permas Jaya, Johor Bahru pada Isnin
Tangkap layar video yang tular memaparkan sekumpulan lelaki sedang bergaduh di hadapan sebuah restoran di Bandar Permas Jaya, Johor Bahru pada Isnin
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perselisihan faham membabitkan sekumpulan lelaki menjadi punca pergaduhan menggunakan kayu di hadapan sebuah restoran di Bandar Baru Perrmas Jaya di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, susulan kejadian itu, seramai lima lelaki berusia lingkungan 17 hingga 43 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

"Mereka ditahan sepasukan anggota dari Balai Polis Permas Jaya bersama sebahagian anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan di empat lokasi berbeza sekitar Johor Bahru antara jam 2.30 petang Selasa sehingga 12.10 tengah malam Rabu.

"Polis merampas dua telefon bimbit pelbagai jenis dan dua batang kayu rotan.

"Hasil semakan rekod lampau mendapati empat suspek tidak mempunyai rekod lampau manakala seorang suspek mempunyai dua kes dadah dan satu kes jenayah.

"Semua suspek telah menjalani pemeriksaan ujian saringan air kencing dan mendapati negatif daripada sebarang jenis dadah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kelima-lima suspek direman selama sehari pada Rabu mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Raub memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut beliau lagi, pihaknya mengetahui kejadian tersebut selepas menerima maklumat satu video yang tular dalam media sosial menerusi akaun Facebook Thye Teng Lim.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, video berkenaan memaparkan sekumpulan lelaki merusuh menggunakan kayu di hadapan restoran berkenaan.

Pihaknya juga kata beliau, menerima satu laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.27 petang Selasa.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh berhubung terus menerusi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 016-4831003 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Farra Azreen Hamzah 013-5781125," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!