Piala Asia: Qatar pasukan pertama layak ke pusingan 16 terbaik

Akram Afif Foto: Agensi
Akram Afif Foto: Agensi
A
A
A

PENYANDANG juara, Qatar muncul pasukan pertama mengesahkan slot pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 selepas menewaskan Tajikistan, 1-0 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Al Bayt.

Akram Afif Yahya muncul wira Qatar selepas menyudahkan sentuhan Almoez Ali untuk gol tunggal perlawanan pada minit ke-17.

Tiga mata diraih juara edisi 2019 Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu membolehkan The Maroons kendalian Marquez Lopez mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Pada 13 Januari lalu, Qatar menyingkap kempen langkah kanan dengan mengatasiLebanon, 3-0 di Stadium Lusail hasil jaringan Akram Afif Yahya (dua gol) dan Almoez Ali (satu gol).

Tajikistan pula di tangga ketiga dengan satu mata hasil keputusan seri tanpa jaringan menentang China di Stadium Abdullah bin Khalifa pada 13 Januari lalu.

Sementara itu, Tajikistan muncul pasukan pertama menerima kad merah pertama temasya selepas Amadoni Kamolov dilayangkan kad merah pada minit ke-81 selepas berkelakuan ganas.

"Saya sangat gembira apabila pasukan dapat melayakkan diri selepas dua perlawanan.

"Ia adalah perlawanan yang sukar tetapi kami membuat persediaan dengan sangat baik menentang pasukan yang kuat dan kami tidak memberi peluang kepada lawan untuk menjaringkan gol.

“Tajikistan memulakan perlawanan dengan tekanan yang tinggi, tetapi kami mampu menanganinya dengan bijaksana,” kata Lopez kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Qatar bakal berdepan China di Stadium Khalifa International manakala Tajikistan menentang Lebanon di Stadium Jassim Bin Hamad, pada Isnin depan.