KOM perkasa akar umbi olahraga

KOM menanam tekad untuk memperkasa sukan olahraga di peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa depan. Gambar Bernama (Gambar kecil: Shahidan)
KOM menanam tekad untuk memperkasa sukan olahraga di peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa depan. Gambar Bernama (Gambar kecil: Shahidan)
A
A
A

KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) menanam tekad untuk memperkasa sukan tersebut di peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet berprestasi tinggi pada masa depan.

Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, usaha tersebut akan digerakkan menerusi penganjuran kejohanan oleh persatuan olahraga negeri dengan kerjasama pelbagai pihak.

Beliau berkata, kejohanan tersebut menjadi medan untuk mencungkil atlet baharu dari usia muda dan bakat mereka kemudiannya akan digilap di sekolah sukan agar potensi mereka tidak berkubur.

“Kita menggalakkan kejohanan olahraga di peringkat kanak-kanak iaitu 13 tahun ke bawah dan telah dianjurkan di Wilayah dan beberapa negeri.

“Banyak atlet muda ini mempunyai rekod yang cukup baik, tapi tidak ada susulan. Mereka masuk sekolah yang tidak beri perhatian kepada sukan, akhirnya mereka dilupakan,” katanya.

Shahidan turut mengimbas pernah bertemu dengan seorang murid berusia 12 tahun yang mempunyai potensi besar dalam olahraga, namun disebabkan tidak melalui proses pembangunan bakat yang sistematik akhirnya lesu.

“Dia tinggi daripada saya dan lari sama seperti pelajar tingkatan 5, tapi selepas itu saya tengok rekodnya (pencapaian) tak diikuti.

“Selepas beberapa tahun saya jumpa dan badannya tak lagi nampak seperti seorang atlet. Saya tanya apa sudah jadi?. Dia masuk ke sekolah yang tidak ada guru sukan menyebabkan dia tertinggal dan akhirnya lesu.

Artikel Berkaitan:

“Jadi mereka yang telah capai tahap umur bawah 12 tahun (berpotensi) kita kena pegang rekod untuk dimasukkan ke sekolah yang boleh beri ruang sukan lebih baik kepada mereka,” katanya.

Beliau menjelaskan, KOM telah memberi sumbangan kepada persatuan negeri untuk menganjurkan kejohanan olahraga yang menjadi pentas untuk mencungkil bakat baharu.

“Program pembangunan awal sekolah sudah buat, tak perlu kita buat sebab sekolah sudah latih mereka. Cuma bila masuk pertandingan, kita nak pegang rekod agar mereka dapat ditempatkan di sekolah yang sesuai.

“Saya telah anjurkan kejohanan olahraga pada ambang Merdeka dan antara pemenangnya ialah berumur 13 tahun. Kita simpan rekodnya untuk dia berada di sekolah yang boleh bentuk dia jadi ahli sukan yang hebat.

“2024 ialah tahun yang dahsyat dan hebat. Kita akan buat perubahan dalam sukan,” katanya.