Kerajaan setuju kecualikan CGT, cukai ke atas FSI untuk unit amanah

Menteri Kewangan ll Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyampaikan ucapannya sebelum merasmikan Bursa Malaysia As A Multi Asset Exchange di Bursa Malaysia. Foto Bernama
Menteri Kewangan ll Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyampaikan ucapannya sebelum merasmikan Bursa Malaysia As A Multi Asset Exchange di Bursa Malaysia. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan bersetuju untuk mengecualikan cukai keuntungan modal (CGT) dan cukai ke atas pendapatan luar negara (FSI) untuk unit amanah, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, pengecualian ke atas CGT berkuat kuasa 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2028, manakala pengecualian ke atas FSI mulai 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2026.

Amir Hamzah berkata, kerajaan akan terus menjadikan pelaburan pasaran modal di Malaysia mesra rakyat dengan pengenalan CGT dalam Belanjawan 2024.

"Skop kepada CGT tertumpu kepada keuntungan daripada penjualan saham tidak disenaraikan oleh syarikat. Penjualan saham senaraian dan penjualan oleh individu tidak tertakluk kepada CGT.

"Melalui pelbagai libat urus yang kami adakan mengenai perkara ini, menjadi perhatian kami bahawa bidang yang terjejas oleh CGT ialah unit amanah, berdasarkan lebih 90 peratus daripada pemegang unit amanah adalah individu,” katanya pada pelancaran Bursa Malaysia sebagai bursa pelbagai aset hari ini.

Beliau hari ini merasmikan pelancaran aplikasi baharu Bursa Malaysia untuk emas sebagai aset pelaburan -- Bursa Gold Dinar (BGD) dan portal pelanggan baharu MyBURSA, platform baharu untuk menghubungkan pelabur secara langsung dengan wakil peniaga -- Bursa Reach dan logo baharu Bursa Malaysia.

Sementara itu, Amir Hamzah menegaskan bahawa kerajaan masih mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang sebanyak empat hingga lima peratus pada 2024 walaupun turun naik luaran mewujudkan risiko penurunan.

"Ini disokong oleh usaha berterusan kerajaan untuk meningkatkan permintaan domestik dan menjana lebih banyak pelaburan ke dalam negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pembaharuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Madani telah menunjukkan hasil positif.

"Rangka kerja Ekonomi Madani menyediakan pelan hala tuju yang jelas untuk memacu Malaysia kepada rantaian nilai ekonomi yang lebih tinggi dan memberikan keyakinan kepada pelabur global.

"Dalam bulan-bulan dan tahun akan datang, kerajaan akan melihat melalui pelaksanaan dokumen dasar ini dan memastikan visi Ekonomi Madani akan menjadi kenyataan,” katanya. - Bernama