KPN teliti cadangan penstrukturan semula agensi

Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perpaduan Negara (KPN) sedang meneliti kertas cadangan penstrukturan dan penyusunan semula bahagian-bahagian di bawah kementerian itu untuk pertimbangan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan segera ekoran kekurangan tenaga kerja.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, semua agensi kini sedang mengumpul maklumat berkaitan dan perbincangan lanjut akan dibuat bagi mengenalpasti keperluan sebenar di setiap negeri dan daerah seluruh negara.

"Kita telah memohon penstrukturan semula kementerian untuk mendapatkan bukan sahaja pegawai, tetapi struktur bagi memberi fokus kepada program yang telah dirancang sepanjang tahun ini.

"Kita sudah ada senarai aktiviti dan bengkel yang ingin dilaksanakan di peringkat kementerian dan KRT (Kawasan Rukun Tetangga).

"Selepas mendapat semua maklumat dan organisasi untuk penstrukturan, rangka kerja yang sepatutnya dapat bantu dalam kegiatan kita perlu dibawa ke Kabinet," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Amanat Menteri Perpaduan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa.

Sementara itu, Aaron turut memaklumkan, KPN telah merangka beberapa hala tuju yang akan dilaksana tahun ini bagi memastikan agenda serta peranannya terus relevan dan ke hadapan.

Beliau menjelaskan, perancangan yang dilakukan penghujung tahun lalu itu telah membantu pihaknya mengatur beberapa strategi dan inisiatif dalam mendepani pelbagai isu serta cabaran melibatkan perpaduan.

"Kini peranan KPM turut menjadi lebih besar sejak penstrukturan semula agensi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga telah meminta KSU (Ketua Setiausaha) kementerian untuk meneliti segera berhubung penstrukturan gred dan bilangan perjawatan pegawai perpaduan negeri (PPN) dan daerah (PPD) supaya setiap kawasan diwakili pegawai sewajarnya dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat," ujarnya.

Menurut beliau, beberapa agenda turut direncanakan bagi mengeratkan lagi semangat perpaduan antara rakyat, antaranya Penghayatan Terhadap Rukun Negara, Penyuburan Minat Terhadap Warisan dan Budaya Negara serta Memacu Agenda Digital Negara.