Aset ‘raja dadah Malaysia’ dianggar bernilai RM190 juta

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KANGAR - Nilai aset kepada seorang lelaki didakwa sebagai ‘raja dadah Malaysia’ berusia 41 tahun yang ditahan di Laos baru-baru ini dianggarkan kira-kira RM190 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Kamarudin Md Din berkata, lelaki berasal dari Perak itu pernah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 (Akta 316) dan nilai aset itu berdasarkan sitaan peringkat awal semasa penahanannya itu sebelum ini.

"...nilai (aset) tak silap saya masa kita (polis) buat sitaan itu dalam (anggaran) RM190 juta, yang kita sita pada peringkat awal, sebahagian kita lucut hak dan sebahagian lagi kita pulangkan semula,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis di sini pada Isnin.

Turut hadir pada sidang media itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Pada 8 Januari lepas, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dilaporkan sebagai berkata, lelaki yang berkahwin dengan wanita Thailand itu akan menghadapi pertuduhan di Thailand.

Media sebelum ini melaporkan suspek yang dikehendaki polis Thailand itu ditahan dalam operasi bersama Thai-Laos pada 29 Disember lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: