X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas pekerja dalang kes samun van keselamatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A

GEORGETOWN - Bekas pekerja syarikat kawalan keselamatan antara 11 individu yang ditahan dipercayai terlibat dengan kes samun wang tunai berjumlah RM231,000 yang dibawa van syarikat kawalan keselamatan di hadapan bank di Sungai Nibong pada 16 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Roslee Chik berkata, bekas pekerja berusia 62 tahun itu dipercayai dalang utama kes berkenaan dan telah berhenti kerja dengan syarikat berkenaan sejak 2014.

Menurutnya, warga emas itu mempunyai beberapa rekod jenayah lampau berkaitan curi kenderaan dan memiliki barang curi.

"Daripada kesemua suspek yang ditahan, enam terbabit secara langsung dengan kejadian itu.

"Siasatan mendapati suspek menggunakan wang hasil samun itu untuk membeli tiga motosikal secara tunai berjumlah keseluruhan RM35,000, lima hari selepas kejadian. Sebuah motosikal untuk kegunaannya dan dua lagi diberikan kepada anaknya," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini pagi tadi.

Roslee berkata, selain itu polis turut merampas sebuah lagi motosikal yang dipercayai digunakan suspek ketika kejadian serta beberapa telefon bimbit, barang kemas serta wang tunai RM12,300.

Beliau memberitahu, soal siasat terhadap suspek menemukan sepucuk pistol bersama sebutir peluru 32mm; 20 butir peluru 5.56mm dan satu kelopak pistol yang ditanam di belakang rumah salah seorang suspek terbabit.

Menurutnya, kerjasama di antara Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bersama Ibu Pejabat Polis (IPD) Timur Laut dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) membawa kejayaan menyelesaikan kes itu.

"Kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 62 tahun itu kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan rompakan berkumpulan bersenjata.

"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (penalti lebih berat) 1971,"katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.51 pagi, 16 Disember lalu, dua lelaki berjaya melarikan sebuah beg mengandungi wang tunai berjumlah RM231,000 dari sebuah van keselamatan di Bukit Jambul, Georgetown.

Ketika itu tiga kakitangan sebuah syarikat keselamatan sedang membawa wang berkenaan untuk dimasukkan ke dalam sebuah bank berhampiran Masjid Sungai Nibong Kecil.

Seorang daripada mangsa turut mengalami kecederaan akibat dipukul menggunakan senjata.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!