Apa maksud pesakit 'ditidurkan'? Ini penjelasan KKM

Tanggapan negatif dan buruk terhadap perkataan 'ditidurkan' hanyalah salah faham dan perlu dibetulkan agar maklumat tidak tepat dapat dibendung sepenuhnya. - Gambar hiasan
Tanggapan negatif dan buruk terhadap perkataan 'ditidurkan' hanyalah salah faham dan perlu dibetulkan agar maklumat tidak tepat dapat dibendung sepenuhnya. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tampil memberikan penjelasan berhubung perkataan 'ditidurkan' yang menjadi ketakutan ramai sejak kebelakangan ini.

Dalam satu kenyataan, KKM berkata, tanggapan negatif dan buruk terhadap perkataan 'ditidurkan' hanyalah salah faham dan perlu dibetulkan agar maklumat tidak tepat dapat dibendung sepenuhnya.

Menurut KKM, tanggapan bahawa kaedah intubasi atau ditidurkan adalah salah satu cara untuk mematikan pesakit dengan kaedah yang paling 'selamat' merupakan satu mitos dan tidak benar.

"Sebaliknya, fakta sebenarnya adalah ditidurkan (induced coma) ialah usaha paling optimal untuk menyelamatkan nyawa terutamanya apabila seseorang pesakit mengalami keadaan klinikal yang kritikal dan mengancam nyawa.

"Pesakit yang ditidurkan namun kemudian meninggal dunia bukanlah disebabkan proses ditidurkan tetapi disebabkan status kesihatan yang semakin kritikal dan kegagalan organ yang semakin merosot," kata KKM di laman media sosial, pada Isnin.

Mengulas lanjut, KKM berkata, antara indikasi pesakit perlu ditidurkan adalah pesakit tidak boleh bernafas dengan sendiri.

"Selain itu, tahap oksigen yang rendah dalam darah, kemerosotan fungsi organ utama dan saluran pernafasan tersumbat.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk menyemak kesahihan video yang ditularkan agar ianya tidak menyebabkan kebimbangan atau kekeliruan dalam kalangan masyarakat," ujarnya.

Baru-baru ini tular di media sosial berhubung dakwaan mengenai 'pesakit yang ditidurkan di hospital pasti akan meninggal dunia'.

Artikel Berkaitan:

Dakwaan itu menimbulkan polemik dan perbincangan dalam kalangan netizen sehingga ada yang mempersoalkan kaedah perubatan moden di hospital. - Awani