Bermulanya perjuangan Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan ketika menjalani sesi latihan dalam menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar. Foto Bernama
Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan ketika menjalani sesi latihan dalam menghadapi Piala Asia 2023 di Universiti Qatar. Foto Bernama
A
A
A

LANGKAH Harimau Malaya di pentas tertinggi bola sepak Asia bermula pada awal pagi Selasa selepas menanti selama 43 tahun untuk layak secara merit ke kejohanan Piala Asia di Doha, Qatar.

Skuad kendalian pengendali negara, Kim Pan-gon itu diundi dalam Kumpulan E dan akan bertemu Jordan yang berada di ranking ke-87 dunia sebelum menentang Bahrain (86) serta Korea Selatan (23) yang juga juara dua kali Piala Asia.

Atas kertas, tampak agak sukar untuk skuad negara melepasi peringkat kumpulan jika melihatkan kepada kedudukan ranking dan kemampuan pasukan lawan berbanding Harimau Malaya yang berada di ranking ke-130 dunia.

Skuad negara menjalani latihan sebelum menentang Jordan pada awal pagi Selasa. Foto FB FAM
Skuad negara menjalani latihan sebelum menentang Jordan pada awal pagi Selasa. Foto FB FAM



Malah, tiga penampilan di pentas Asia pada 1976 dan 1980 serta 2007 yang menyaksikan kita layak sebagai tuan rumah berakhir hanya pada peringkat kumpulan.

Namun, peningkatan mendadak yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan berprofil tinggi termasuk yang terbaharu mengikat Syria 2-2 yang berada di ranking ke-91 dunia baru-baru ini membuktikan skuad negara mampu untuk memberikan saingan.

Malah, ramai yang beranggapan skuad negara yang dibarisi pemain yang lebih berkualiti dibawah pimpinan Pan-gon dapat mencipta kejutan selain sasaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengharapkan skuad negara mampu untuk melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik.

Hanya juara dan naib juara setiap kumpulan bersama empat pasukan ketiga terbaik akan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.



Secara realistiknya, Harimau Malaya perlu melakar keputusan positif ke atas Jordan dan Bahrain dengan sekurang-kurangya mengutip empat mata iaitu satu kemenangan dan satu seri untuk berada dalam kelompok empat pasukan ketiga terbaik dan mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya.

Bagi bekas pemain kebangsaan, Hairuddin Omar berkata, pertemuan pertama menentang Jordan pada awal pagi Selasa bakal menjadi penanda sama ada skuad negara mampu untuk melangkah jauh.

Menurutnya, jika kalah peluang amat berliku dan sukar apatah lagi perlu berhadapan dengan pasukan di ranking yang jauh lebih bagus dan sukar untuk menewaskan Korea Selatan pada perlawanan terakhir kumpulan.

"Kita boleh menaruh harapan dengan skuad yang ada ini kerana kita berada pada momentum yang baik selepas menghadapi perlawanan persahabatan yang positif.

"Saya letak keyakinan kita mampu buat kejutan. Apa yang penting lawan Jordan kita kena dapat keputusan yang positif. Hala tuju pasukan kita pada Piala Asia bermula pada perlawanan pertama.

"Kalau kita seri atau menang, kita akan ada peluang untuk layak.

"Tetapi, jika kita kalah, peluang kita sukar kerana kita akan bertemu Bahrain dan Korea Selatan," katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Hairuddin yang juga pernah beraksi di Piala Asia 2007 mengakui skuad yang dimiliki Pan-gon ketika ini boleh dikatakan agak sempurna dengan kekuatan yang mampu menghadirkan gerun buat lawan.

Beliau yang kini menjadi jurulatih Terengganu FC II juga percaya pasukan lawan juga sudah mula memandang dan berwaspada dengan kemampuan skuad kebangsaan.

"Rekod perlawanan dengan semua pasukan dalam kumpulan itu mungkin tidak memihak kita kerana kita tidak pernah menang dengan mereka dalam beberapa perlawanan terakhir.

"Skuad yang kita ada ini adalah skuad terbaik yang pernah kita ada selepas beberapa tahun. Contohnya Arif Aiman Mohd Hanapi dan Faisal Halim yang sedang berada pada prestasi terbaik mereka.

"Apa yang paling penting, semua pemain perlu fokus dan memainkan peranan dengan baik dalam setiap perlawanan.

"Ini adalah medan untuk mereka membuktikan kemampuan dan menggembirakan penyokong di pentas Asia," katanya.

Penganalisis sukan, Zainal Abidin Rawop mempunyai pandangan tersendiri dalam misi penting skuad Harimau Malaya untuk memburu keputusan positif.

Zainal Abidin
Zainal Abidin

“Barisan pertahanan melibatkan Matthew Davies di sebelah kanan dan Daniel Ting sebagai pertahanan kiri.

“Bek tengah adalah Dion Cools, cuma siapa yang akan menjadi rakannya sama ada Shahrul Saad, tapi aksi sebelum ini nampak 'berat' atau Dominic Tan, susah hati juga sebab banyak buat kesilapan sebelum ini.

“Jadi pilih yang mana satu (Shahrul atau Dominic) dan harap mereka tidak ulangi kesilapan. Sudah pasti benteng terakhir, Ahmad Syihan Hazmi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Skuad Harimau Malaya pada 8 Januari lalu mengikat Syria 2-2 dalam aksi pemanas badan sebelum menentang Jordan di Stadium Al Janoub pada jam 1.30 pagi Selasa.

Beliau menjelaskan barisan tengah juga penting buat pasukan kebangsaan untuk mengatur gerak menyerang kubu lawan.

“Saya memilih Brendan Gan, Paulo Josue dan Stuart Wilkin. Nampak solid tiga pemain itu," katanya.

Arif Aiman (kanan) dan Faisal menjadi taruhan skuad negara untuk merobek gawang Jordan dalam aksi Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 di Doha pada Selasa. Foto Bernama
Arif Aiman (kanan) dan Faisal menjadi taruhan skuad negara untuk merobek gawang Jordan dalam aksi Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 di Doha pada Selasa. Foto Bernama

Menyentuh mengenai jentera serangan Zainal Abidin melihat pemain naturalisasi baharu, Romel Morales wajar diberi peluang untuk menjadi penyerang utama.

“Morales boleh dibantu oleh Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim. Morales juga boleh ditukar dengan Darren Lok,” katanya.

Selepas menentang Jordan, Malaysia akan membuat perhitungan dengan Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad pada 20 Januari, disusuli berdepan skuad Piala Dunia 2022, Korea Selatan di Stadium Al Janoub pada 25 Januari.