Tiada tekanan buat Harimau Malaya - Davies

Matthew Davies - Foto: FAM
Matthew Davies - Foto: FAM
A
A
A

STATUS pasukan bukan pilihan yang dilabel kepada Harimau Malaya dalam aksi Kumpulan E di Piala Asia nyata memberi kelebihan kepada skuad negara.

Pemain pertahanan negara, Matthew Davies berkata, tiada tekanan kepada pemain negara sebaliknya pasukan lain dalam kumpulan tersebut berdepan tugas yang lebih sukar untuk memenuhi jangkaan dalam kejohanan itu.

"Ini waktu yang bagus untuk mengingatkan bahawa kami berada di ranking ke-130 dunia berbanding pasukan lain. Untuk realistik, kami bukan pasukan pilihan.

"Jordan, Bahrain dan Korea Selatan adalah pilihan dalam kumpulan ini. Namun, ia sesuatu yang positif buat kami kerana tiada tekanan untuk kami.

"Kami datang ke sini selepas 40 tahun dan semua pemain pertama kali beraksi dalam kejohanan ini. Semua tekanan kepada Jordan, Bahrain dan Korea Selatan. Kami datang ke sini untuk bermain dan menonjolkan gaya permainan kami," katanya dalam sidang media pra perlawanan pada Ahad.

Bagaimanapun, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu percaya para pemain Harimau Malaya mampu memberikan sesuatu dalam kejohanan tersebut berdasarkan persiapan rapi yang telah dilakukan.

"Banyak usaha telah dilakukan untuk pasukan ini di bawah Kim Pan-gon dan kami telah buktikan mampu menyaingi pasukan di ranking uang lebih baik.

"Kami sangat yakin sebagai sebuah pasukan dan dalam masa sama penyokong perlu realistik," katanya.

Artikel Berkaitan: