Netanyahu angkuh, anggap Israel mampu capai kemenangan

Benjamin Netanyahu
Benjamin Netanyahu
A
A
A

TEL AVIV - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu terus bersikap angkuh apabila menyatakan tiada siapa yang mampu menghalang Israel daripada mencapai kemenangan dalam perangnya terhadap pejuang Hamas di Semenanjung Gaza.

"Tiada siapa yang akan menghalang kami, bukan The Hague, bukan Axis of Evil dan bukannya orang lain.

"Ia adalah mungkin dan perlu untuk diteruskan sehingga kemenangan dan kami akan melakukannya," kata Netanyahu dalam sidang akhbar ketika perang di Gaza memasuki hari ke-100 pada Ahad.

Netanyahu berkata demikian bagi merujuk kepada kes Israel yang kini diheret ke mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague.

Kes itu dibawa oleh Afrika Selatan yang mengekalkan dakwaannya bahawa Israel bertindak melanggar Konvensyen Konvensyen Genosid.

Menurut Netanyahu, serangan tentera Israel di Gaza telah berjaya 'menghapuskan sebahagian besar batalion Hamas' di wilayah Palestin yang terkepung.

Namun, beliau berkata, mereka yang dipindahkan dari utara Gaza tidak akan dapat pulang ke rumah mereka dalam tempoh terdekat.

"Terdapat undang-undang antarabangsa dan ia mengatakan perkara yang mudah, anda mengeluarkan populasi dan anda tidak membenarkannya kembali selagi bahaya itu wujud.

Artikel Berkaitan:

"Bahaya itu masih lagi wujud. Terdapat pertempuran di sana (utara Gaza)," jelasnya.

Berdasarkan angka terkini dikeluarkan Kementerian Kesihatan Palestin, seramai 23,843 orang terbunuh, manakala lebih 60,317 cedera dalam serangan Israel ke atas Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu. - AFP

Peserta perhimpunan di Washington tuntut gencatan senjata di Gaza

Dalam perkembangan berasingan di WASHINGTON, puluhan ribu orang berhimpun di Washington DC pada Sabtu bagi menyertai perarakan untuk menuntut gencatan senjata di Semenanjung Gaza dan menamatkan bantuan ketenteraan yang disalurkan Amerika Syarikat (AS) kepada Israel.

Perhimpunan anjuran American Muslim Task Force on Palestine, Answer Coalition (Bertindak Sekarang untuk Menghentikan Perang dan Perkauman), dimulakan dengan ucapan daripada rakyat Amerika yang keluarga mereka terbunuh di Gaza, lapor Agensi Anadolu.

Peserta perhimpunan melaungkan 'bebaskan Palestin', 'adakan gencatan senjata sekarang' dan 'tamatkan pendudukan' sambil memegang papan tanda yang berbunyi: 'Tamatkan perang ke atas Gaza' dan 'Biarkan Gaza Terus Hidup.'

Ketua biro Al Jazeera di Gaza, Wael al-Dahdouh yang isteri, anak perempuan, dua anak lelaki dan seorang cucunya terbunuh dalam serangan Israel, adalah antara yang berucap melalui pautan video, selain calon presiden AS, Cornel West dan Jill Stein dan anak kepada Malcolm X, Ilyasah Shabazz.

Seramai 112 wartawan dan jurugambar terbunuh dalam serangan udara rejim Zionis Israel dalam tempoh tiga bulan lepas.

Ketua biro itu berkata, jumlah berkenaan tidak pernah terjadi dalam mana-mana peperangan, termasuk semasa perang Vietnam.

"Nampaknya Israel tidak suka kami menjalankan tugas kami sepenuhnya. Kami beri jaminan kepada anda bahawa kami akan terus membawa mesej dan memenuhi kewajipan kami," katanya. - Bernama