Polis terima 70 laporan babit campur tangan hal ehwal agama Islam

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 70 laporan polis diterima membabitkan isu kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Setakat ini ada 70 laporan polis diterima. Polis juga akan merekodkan keterangan Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dalam tempoh terdekat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Pada 4 Januari lalu, Bukit Aman mengesahkan menyiasat dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan MKI.

30 Disember lalu, Koo Ham dilaporkan memohon maaf selepas mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Ahli Parlimen DAP itu berkata, beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.

Susulan itu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!