Projek SAMA ajak bergabung atas titik persamaan demi kestabilan, akauntabiliti

Hussamuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli Projek SAMA selepas selesai mesyuarat di pejabatnya di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Hussamuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama ahli Projek SAMA selepas selesai mesyuarat di pejabatnya di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Satu gerakan baharu dikenali Projek - Kestabilan dan Akauntabiliti untuk Malaysia (Projek SAMA) diwujudkan bagi mengajak semua pihak memperjuangkan reformasi institusi demi memupuk kestabilan politik dan akauntabiliti di negara ini.

Konvenor Projek SAMA, Ngeow Chow Ying berkata, inisiatif yang diasaskannya bersama sekumpulan individu itu diperkenal untuk membentuk 'pendamaian' melibatkan semua parti politik demi demokrasi yang lebih baik.

Menurutnya, kewujudan inisiatif ini juga selari dengan kedudukan negara yang sedang melalui fasa pendemokrasian yang baharu berikutan dengan situasi terjadinya Parlimen tergantung dan kerajaan campuran.

"Projek SAMA menyeru parti kerajaan dan pembangkang untuk merundingkan satu persetujuan pembaharuan politik bagi baki penggal Parlimen ke-15 sehingga 18 Disember 2027.

"Ia yang merangkumi perkara seperti kestabilan politik dengan menggubal Akta Parlimen Berpenggal Tetap dan Undi Kepercayaan Pengesahan bagi setiap Perdana Menteri baharu selepas pelantikannya di bawah Perkara 40(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

"Pengukuhan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan parti-parti politik dengan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen, mengiktiraf Kabinet bayangan (pembangkang), menggubal undang-undang untuk Dana Pembangunan Kawasan (CDF) yang saksama, Akta Pembiayaan Politik yang membolehkan pembiayaan awam kepada parti politik," katanya.

Chow Ying
Chow Ying

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas mengadakan mesyuarat bersama Penasihat Kumpulan Karangkraf merangkap Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Busters), Nurhayati Nordin.

Artikel Berkaitan:

Turut serta dalam mesyuarat tersebut ialah ahli kumpulan Projek SAMA terdiri daripada bekas Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Thomas Fann dan penganalisis politik Profesor Wong Chin Huat.

Tambahnya, Projek SAMA juga bercadang untuk mengadakan perjumpaan dengan semua parti politik untuk membincangkan mengenai hasrat yang ingin dilaksanakan pihaknya.

"Malaysia milik kita semua. Kami jemput semua rakyat Malaysia, termasuk aktivis dalam masyarakat sivil dan sektor swasta, untuk menyokong usaha sederhana ini untuk kestabilan dan akauntabiliti," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan pada masa akan datang, Chow Ying berkata, pihaknya menyasarkan untuk mengeluarkan laporan tahunan untuk mengukur tahap demokrasi dan kestabilan dalam negara.

Dalam pada itu, Nurhayati menyifatkan inisiatif yang diambil Projek SAMA itu selari dengan matlamat yang diusahakan Rasuah Busters.

"Rasuah Busters mengalu-alukan sebarang bentuk pemerkasaan bagi mengangkat kedaulatan undang-undangan sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Jadi usaha yang dilaksanakan Projek SAMA ini ialah antara satu usaha yang digerakkan seiring dengan misi dan visi pihak kami untuk mewujudkan kestabilan berdasarkan mementingkan reformasi undung-undung itu sendiri.

"Selain itu, projek ini juga turut mengajak rakyat untuk sama-sama menjalankan peranan masing-masing dalam memastikan sistem perundangan dihormati," katanya.