[VIDEO] KPDN serbu kedai runcit perkampungan Bangladesh

A
A
A

ALOR GAJAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka membongkarkan sebuah 'kedai runcit rimba' disyaki menjual barang kawalan tanpa lesen di kawasan pusat pelancongan negeri ini.

Kedai runcit umpama 'perkampungan warga Bangladesh' itu dipercayai wujud sejak lebih lima tahun lalu dan turut mempunyai kemudahan surau selain terdapat ternakan ayam dan itik.


Kedai runcit dalam 'perkampungan Bangladesh' yang diserbu KPDN pada Selasa. Gambar kecil: Norena
Kedai runcit dalam 'perkampungan Bangladesh' yang diserbu KPDN pada Selasa. Gambar kecil: Norena

Pengarah KPDN, Norena Jaafar berkata, risikan dan intipan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan menerusi media sosial yang memaklumkan kewujudan kedai berkenaan.

Menurutnya, kedai yang diuruskan seorang lelaki warga Bangladesh berusia 36 itu dipercayai menjual beberapa barang kawalan seperti gula, minyak masak, tepung gandum dan gas tong petroleum cecair (LPG) tanpa lesen dan permit sama ada daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau KPDN.

Pegawai penguat kuasa menyita barang kawalan yang terdapat dalam kedai runcit itu pada Selasa.
Pegawai penguat kuasa menyita barang kawalan yang terdapat dalam kedai runcit itu pada Selasa.

Malah katanya, soal siasat yang dilakukan ke atas lelaki itu turut mengakui menjual minyak masak peket satu kilogram (kg) dengan harga RM5 selain tepung gandum dengan harga lebih tinggi iaitu RM3.50 berbanding harga pasaran RM2.85.

"Hasil serbuan, memang betul dia ada menjual barang kawalan dan kita akan mengambil tindakan menyita, seterusnya membuka kes mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Artikel Berkaitan:

"Lelaki itu juga mengakui memperoleh bekalan barang kawalan yang dihantar pembekal ke premis itu menggunakan perkhidmatan e-hailing," katanya selepas serbuan di sini pada malam Selasa.

Norena berkata, semakan mendapati pembekal barang kawalan itu dari luar Melaka dan barangan tersebut dijual kepada pekerja warga asing yang tinggal di rumah kongsi tersebut.

Tambah beliau, pihak pengurusan tempat pelancongan berkenaan juga tidak mengetahui kewujudan perkampungan warga asing ini yang mempunyai kemudahan kedai runcit.


Minyak masak antara barang kawalan yang turut dirampas dalam serbuan itu.
Minyak masak antara barang kawalan yang turut dirampas dalam serbuan itu.

Menurutnya, agensi berkaitan perlu membuat pemantauan di kawasan ini sama ada ia merupakan penempatan haram atau sebaliknya memandangkan lokasi agak tersorok di kawasan bersemak dan hutan.

"Kita harap pihak-pihak terlibat dapat pergi bersama di kawasan pelancongan ini, malah isi rumah di sini agak ramai terdapat lebih 40 pintu rumah kongsi.

"KPDN juga mengingatkan pemborong di negeri ini jangan terlibat dengan kegiatan tidak bermoral ini demi keuntungan sanggup ketepikan undang-undang," katanya.