Buka cawangan baharu di Rembau

A
A
A

REMBAU - McDonald’s Malaysia meluaskan operasinya di Negeri Sembilan dengan membuka sebuah lagi restoran pandu-lalu di Rembau pada Khamis lalu.

Pembukaan premis baharu itu menjadikan jumlah restoran McDonald’s yang beroperasi di negeri berkenaan berjumlah 20 buah sekali gus mencipta peluang pekerjaan selain membangunkan kemahiran kepada masyarakat tempatan.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, peluang itu termasuk penyertaan vendor dan kontraktor tempatan dalam pembinaan serta penyelenggaraan restoran McDonald’s secara berterusan.

“Pembangunan pesat di Negeri Sembilan menawarkan lokasi yang cukup strategik untuk perniagaan McDonald’s Malaysia.

“Rembau sebagai contoh, terletak tidak jauh dari segi tiga pertumbuhan baru di Negeri Sembilan dan Malaysian Vision Valley (MVV) yang bakal menjadi sebahagian daripada Greater Kuala Lumpur," jelas Azmir ketika majlis perasmian McDonald's Pandu-Lalu Rembau di sini pada Khamis.

Majlis itu disempurnakan Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam, Teo Kok Seong yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambah Azmir, McDonald’s Malaysia merancang untuk membuka tiga lagi premis McDonald’s Pandu-Lalu baharu di Negeri Sembilan melibatkan kawasan Gemas, Rasah dan Mambau pada tahun 2024.

Malah, rancangan itu katanya diyakini bertepatan dengan hasrat kerajaan negeri itu menerusi Rancangan Pembangunan Negeri Sembilan (RPNS) 2021-2025 untuk memacu pertumbuhan ekonomi setempat dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber tempatan bagi mengurangkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar.

Artikel Berkaitan:

Sasaran McDonald’s Malaysia

Dalam perkembangan lain, McDonald’s Malaysia menyasarkan pembukaan 750 buah restoran di seluruh negara menjelang 2030 sekali gus mencipta peluang pekerjaan kepada kepada penduduk tempatan.

Sasaran itu kata Azmir, melibatkan pembukaan restoran baharu di lokasi-lokasi bandar utama termasuk di kawasan-kawasan pinggir dan luar bandar.

"Ia (restoran baharu) akan memberi akses mudah kepada para pelanggan kami. Secara purata, satu restoran McDonald’s yang dibuka mampu menyediakan kira-kira 50 hingga 100 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,” jelas beliau.

Tahun lalu, sebanyak 32 buah restoran McDonald’s baru telah dibuka sekali gus menjadikan rangkaian restoran McDonald’s di seluruh negara ketika ini berjumlah 370 buah.

Zakat perniagaan McDonald’s Malaysia

Dalam majlis yang sama, McDonald's Malaysia turut mengambil kesempatan menyerahkan pembayaran zakat perniagaan bagi tahun 2023 berjumlah RM110,000 kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk diagihkan kepada golongan asnaf di negeri itu.

Jelas Azmir, McDonald’s Malaysia mula membayar zakat pada tahun 2017 apabila diambil alih oleh Lionhorn Ptd. Ltd. yang merupakan anak syarikat Reza Group dari Arab Saudi.

"Ia sekali gus menjadikan McDonald’s Malaysia sebagai sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh orang Islam. Sehingga kini, McDonald’s Malaysia telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM651,000 untuk Negeri Sembilan sahaja," katanya.

Program Pek Kembali Ke Sekolah

Sempena majlis tersebut, McDonald’s Malaysia dan Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) menyumbang Pek Kembali Ke Sekolah bernilai RM120,000 kepada 800 kanak-kanak sekolah rendah daripada keluarga kurang berkemampuan di Negeri Sembilan.

Sejak Program Pek Kembali Ke Sekolah ini diperkenalkan pada tahun 2017, seramai 157,000 kanak-kanak di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program tersebut termasuklah hampir 8,000 kanak-kanak di Negeri Sembilan.

Inisiatif itu meringankan beban kewangan keluarga berpendapatan rendah dan miskin bandar, selain memberi motivasi kepada pelajar untuk memulakan sesi persekolahan baharu.