Wujudkan JPKP pantau pemilihan Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah BBP

Bersih menyarankan kepada kerajaan mewujudkan JPKP untuk memantau dan menapis pencalonan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP. Gambar kanan: Muhammad Faisal
Bersih menyarankan kepada kerajaan mewujudkan JPKP untuk memantau dan menapis pencalonan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah BBP. Gambar kanan: Muhammad Faisal
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyarankan kepada kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk memantau dan menapis pencalonan Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP).

Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, langkah tersebut akan membantu proses pemilihan calon yang tepat dan layak.

“Penubuhan JPKP ini dapat menambah ketelusan dan memastikan bahawa hanya calon yang layak dapat dilantik melalui satu proses berbanding pelantikan secara sewenang-wenangnya.

“Ia akan membawa nilai kebertanggungjawapan lebih tinggi terutama kepada mereka yang dilantik kerana dasar pelantikan ini adalah untuk menjalankan amanah rakyat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, proses pelantikan BBP akan diperkukuhkan lagi berdasarkan kriteria yang telus serta wajib melalui proses penilaian wajar menerusi semakan keutuhan beberapa badan penguat kuasa negara.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan, ia termasuk semakan keutuhan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Jabatan Insolvensi dan tapisan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Perkara itu merupakan antara garis panduan baharu bagi menggantikan Surat Pekeliling Am Bilangan 3 Tahun 1998, yang dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang bersidang hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal berkata, tindakan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan mengambil serius terhadap agenda reformasi yang dibawa.

Artikel Berkaitan:

“Ia adalah tindakan yang amat baik dan wajar dipuji. Ini adalah gambaran awal menunjukkan ada komitmen kerajaan membawa agenda reformasi secara bertahap.

“Selain itu, lantikan juga perlu didasari dengan nilai merit untuk tambah baik Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Tanggungjawab besar GLC adalah untuk bantu pekerja dan merancakkan pembangunan ekonomi,” ujarnya.