Choong Hann teruja kembali ke tanah air

Choong Hann (kiri) bersama pemain perseorangan Hong Kong, Ng Ka Long ketika menentang pemain Jepun Kanta Tsuneyama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto: Bernama
Choong Hann (kiri) bersama pemain perseorangan Hong Kong, Ng Ka Long ketika menentang pemain Jepun Kanta Tsuneyama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena Bukit Jalil. - Foto: Bernama
A
A
A

BEKAS jurulatih badminton negara, Wong Choong Hann meluahkan rasa teruja dapat kembali ke tanah air setelah enam bulan berkelana di luar negara membimbing skuad kebangsaan Hong Kong.

Keluar dari zon selesa untuk mencurah ilmu, jurulatih berusia 46 tahun itu menggalas tanggungjawab untuk membimbing Ng Ka Long dan Lee Cheuk Yiu dalam Terbuka Malaysia 2024 di Axiata Arena, Bukit Jalil bermula pada Selasa.

Selepas lima tahun bersama skuad badminton negara, Choong Hann yang merupakan pengarah kejurulatihan perseorangan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melepaskan jawatannya Jun tahun lalu.

Sasaran utama Choong Hann pada tahun ini adalah untuk membantu dua pemainnya meraih slot ke Sukan Olimpik Paris.

“Ka Long dan Cheuk Yiu merupakan pemain berpengalaman di pentas antarabangsa dan telah menunjukkan komitmen yang baik setakat ini.

“Saingan untuk layak ke Sukan Olimpik kian sengit dan saya berharap mereka dapat meraih keputusan yang baik.

"Setakat ini, mereka semakin meningkat dari segi kemahiran dan strategi tetapi prestasi mereka masih belum stabil,” ujar Choong Hann.

Cheuk Yiu dan Ka Long ketika ini menghuni ranking ke-17 dan ke-20 dunia.

Artikel Berkaitan:

Mereka perlu berada dalam kelompok 16 terbaik sebelum tempoh kelayakan Olimpik berakhir pada April untuk memperoleh tempat di Paris.

Dalam pada itu, Ka Long memulakan Terbuka Malaysia dengan langkah positif apabila menang ke atas Kanta Tsuneyama dari Jepun, 21-15, 21-9.