Sawa 'ceroboh' kebun telan babi

Ular sawa yang berjaya ditangkap APM di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, Baling.
Ular sawa yang berjaya ditangkap APM di Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, Baling.
A
A
A

BALING - Seorang pekebun dari Kampung Charok Bakong, Dalam Wang di sini terkejut apabila terserempak seekor ular sawa yang kekenyangan seberat 40 kilogram di kebunnya pada Selasa.

Reptilia berkenaan kekenyangan kerana baru sahaja membaham seekor khinzir yang ditemui pekebun terbabit yang sedang memeriksa kebun miliknya.

Lelaki berkenaan kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan menangkap ular sepanjang kira-kira lima meter itu.

Anggota APM membawa ular sawa ke kenderaan.
Anggota APM membawa ular sawa ke kenderaan.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.32 tengah hari dan menghantar empat anggota ke lokasi kejadian.

Menurutnya, walaupun berdepan pelbagai kesulitan, namun pihaknya berjaya menangkap ular tersebut dalam tempoh satu jam.

"Selepas ditangkap, ular berkenaan dilihat memuntahkan semula khinzir yang ditelan sebelum itu," katanya.

Anggota APM mengambil masa satu jam sebelum berjaya menangkap ular sawa ini.
Anggota APM mengambil masa satu jam sebelum berjaya menangkap ular sawa ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, APM mengambil masa kira-kira 25 minit mengeluarkan reptilia berkenaan dari lokasi kejadian dengan mengusungnya ke kenderaan untuk dibawa keluar.

Ular tersebut dibawa balik ke pejabat APM Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara.

Mohd Faizol turut menasihati orang ramai supaya menjaga persekitaran bagi mengelakkan kehadiran haiwan berbisa yang boleh mengancam keselamatan awam.