'Titik bengik politik harus disantuni sebaiknya' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian di Kadamaian Square Taginambur, Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Sabah adalah contoh terbaik sebagai negeri yang bertoleransi walaupun rakyatnya dari pelbagai agama dan kaum.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berharap masalah politik yang remeh harus ditangani dengan baik.

"Masalah politik titik bengik dan sebagainya harus disantuni dengan sebaik-baiknya. Mana mungkin kita mahu bersetuju 100 peratus, mana mungkin kita memuaskan hati semua pihak 100 peratus, itu mustahil.

"Ya benar kita boleh berbeza pendapat, berbeza pandangan namun yang penting kita harus memberikan keutamaan kepada kepentingan rakyat dan jangan jadikan rakyat sebagai harga yang mahal yang terpaksa dibayar kerana perbezaan pegangan politik dan kepentingan politik.

"Dalam situasi ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim Perdana Menteri kita memberikan keutamaan bagaimana soal kestabilan harus dipertahankan kerana lahirnya kestabilan politik ini akan terdapat pembangunan negara hasil pelaburan yang datang dari luar, pelaburan dalam negeri yang akan mengurangkan pengangguran, mengurangkan kadar inflasi, menstabilkan harga barang dan paling penting rakyat harus disejahterakan dan dimakmukan, inilah tujuannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kadamaian sempena Rumah Terbuka Sambutan Krismas Kadamaian, di Kadamaian Square Taginambur, di sini pada Isnin.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) itu turut mengingatkan semua pihak tidak terlalu taksub untuk mewujudkan jurang perbezaan yang ada.

"Kita tahu Malaysia ini adalah sebuah negara yang bermasyarakat majmuk dengan kepelbagaian bangsa dan agama serta budaya merupakan satu keunikan yang harus dipertahankan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tidak mahu ada parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO) atau tokoh-tokoh serta individu yang terlalu taksub, yang terlalu jumud untuk mewujudkan jurang-jurang perbezaan di kalangan kita.

"Sabah adalah contoh yang terbaik toleransinya, pelbagai agama dan pelbagai kaum. Sambutan Hari Natal saja ada doa daripada imam, ini sesuatu yang unik. Kalau di Semenanjung mungkin ada masalah, jadi tahniah orang Sabah, orang Kota Belud, orang Kadamaian," katanya.