[VIDEO] Bukan sahaja van jenazah percuma, ambulans juga percuma

A
A
A

KOTA KINABALU - Bukan setakat menawarkan van jenazah percuma, kini Team Amal mula memperluaskan perkhidmatannya dengan menyediakan khidmat van ambulans secara percuma ke seluruh Sabah.

Ambulans yang beroperasi sejak Disember lalu kini sudah membawa 14 pesakit termasuk perjalanan membawa seorang pesakit terlantar dari Kota Kinabalu ke Pitas pada Ahad.

Pengasasnya, Masrul Guding, 34, berkata, sejak ditubuhkan pada 2020, operasi Team Amal semakin meluas dengan perkhidmatan terbaharu mereka yang menawarkan khidmat ambulans kepada golongan yang kurang berkemampuan.

"Dulu kami mempunyai lima van jenazah untuk membawa jenazah, tetapi sejak Disember lalu kami menambah sebuah lagi van untuk tujuan perkhidmatan membawa pesakit berulang alik ke hospital.

"Kami beroperasi di sekitar Kota Kinabalu tetapi jika ada keperluan untuk ke luar daerah ia akan dipertimbangkan termasuk hari ini kami membawa seorang pesakit ke Pitas yang memakan masa hampir empat jam perjalanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Katanya lagi, usaha murni itu dilakukan selepas mengambil kira keperluan pesakit yang sukar untuk ke hospital termasuk disebabkan kekangan kos perjalanan.

"Sebelum ini, ada ahli keluarga terpaksa meminta bantuan menggunakan van jenazah untuk berulang alik ke hospital atau pesakit terlantar untuk dibawa pulang ke rumah.

Artikel Berkaitan:

Perkhidmatan ambulans percuma menawarkan khidmat menghantar seorang pesakit dari Kota Kinabalu ke Pitas.
Perkhidmatan ambulans percuma menawarkan khidmat menghantar seorang pesakit dari Kota Kinabalu ke Pitas.

"Ada ahli keluarga tidak berkemampuan untuk menyewa perkhidmatan ambulans yang mencecah sehingga ratusan ringgit. Jadi mereka sanggup menggunakan van jenazah percuma kami untuk membawa pesakit," katanya.

Ditanya kriteria pesakit yang akan diberikan perkhidmatan ini, Masrul berkata mereka memberi keutamaan kepada bukan pesakit kecemasan dan juga daripada golongan kurang berkemampuan termasuk asnaf dan sebagainya.

Keutamaan perkhidmatan ambulans percuma adalah kepada bukan pesakit kecemasan dan golongan kurang berkemampuan.
Keutamaan perkhidmatan ambulans percuma adalah kepada bukan pesakit kecemasan dan golongan kurang berkemampuan.

"Keutamaan kami juga adalah untuk pesakit terlantar dan mereka yang mempunyai janji temu dengan pihak hospital atau mendapatkan rawatan dialisis.

"Jadi mereka yang memerlukan perkhidmatan ambulans percuma harus membuat tempahan terlebih dahulu bagi mengelak jadual bertembung," jelasnya.

Namun, tambah Masrul lagi, perkhidmatan mereka tidak terhad kepada umat Islam saja tetapi kepada kaum dan agama lain yang memerlukan perkhidmatan ini.

"Untuk perancangan seterusnya, kami akan lihat dulu dalam tempoh setahun ini, jika perkhidmatan ambulans percuma mendapat sambutan mungkin akan ada tambahan dari masa ke masa.

"Untuk van ambulans ini saja kami mengeluarkan kos sehingga RM30,000 namun buat masa ini hanya terdapat stretcher di dalamnya manakala peralatan untuk perubatan seperti tabung oksigen dan sebagainya belum dapat disediakan.

"Jadi kami juga berharap sumbangan daripada orang ramai bagi menambah keperluan peralatan yang bersesuaian dalam ambulans itu nanti," katanya.