Lima ditahan bergaduh semasa main bola

Tangkap layar kejadian pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Rawang, Selangor pada Jumaat.
Tangkap layar kejadian pergaduhan ketika perlawanan bola sepak di Rawang, Selangor pada Jumaat.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Lima ditahan untuk siasatan kes pergaduhan ketika perlawanan bola sepak antara dua pasukan di Rawang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Shafa'aton Abu Bakar berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 8.40 malam akibat perselisihan faham antara pemain dua pasukan terbabit.

Katanya, salah seorang pemain berusia 14 tahun yang cuba meleraikan pergaduhan bagaimanapun telah diserang oleh beberapa pemain lain.

"Akibat insiden itu, mangsa mengalami luka di hidung, lebam di badan dan leher.

"Susulan itu, polis telah menerima dua laporan polis daripada kedua-dua pihak bersabit insiden itu," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Susulan itu, beliau berkata, seramai lima individu berusia 14 hingga 39 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, siasatan masih dijalankan untuk tindakan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi 30 saat di aplikasi X memaparkan pergaduhan selain tindakan beberapa individu memukul menggunakan topi keledar.

Artikel Berkaitan: