LZS sedia beri kerjasama siasatan pecah amanah kutipan zakat

Mohd Sabirin
Mohd Sabirin
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat yang dilaporkan di beberapa negeri.

Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbani berkata, sebagai agensi yang menguruskan dana zakat untuk kebajikan awam, LZS amat menitikberatkan amanah dan integriti demi memastikan wang tersebut diurus dengan baik.

Menurutnya, nilai amanah itu bukan sahaja dalam kalangan warga kerja tetapi juga pihak yang dilantik oleh LZS.

"LZS memandang serius terhadap sebarang salah laku yang membabitkan integriti dan tanpa kompromi akan mengambil tindakan tatatertib serta undang-undang terhadap mana-mana individu atau syarikat yang terlibat.

"Ini penting bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada LZS sentiasa terpelihara dan kepercayaan masyarakat terhadap institusi zakat tidak terjejas," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf pada Khamis yang mendedahkan jabatan itu sedang menyiasat sebuah syarikat dilantik sebagai ejen kutipan zakat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Perak (MAIPk) selepas disyaki menyeleweng kutipan zakat sebanyak RM9.62 juta.

Ramli berkata, siasatan dijalankan selepas syarikat terbabit dipercayai gagal mendepositkan zakat bermula Mac hingga September 2023.

Tambahnya, kes tersebut antara empat kes jenayah pecah amanah berkait kutipan zakat dalam tempoh tahun lalu dengan dua kes direkodkan di Selangor, masing-masing satu kes di Terengganu dan Perak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Sabirin berkata, LZS sentiasa bersedia memberi kerjasama penuh terhadap siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa.

Tambah beliau, LZS juga akan terus menambah baik tadbir urus dan proses dalaman bagi memastikan salah laku integriti tidak berlaku serta dapat ditangani dengan baik.

"Sehingga kini, pelbagai kawalan risiko dalaman dan luaran dilaksanakan bagi memastikan integriti dan kredibiliti LZS terpelihara termasuk pelaksanaan pelbagai siri pengauditan.

" Antaranya Firma Audit Antarabangsa, Audit Negara, Audit SIRIM, Audit ABMS, Audit Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Audit Dalaman LZS dan sebagainya," katanya.