Dana RM700 juta: Dokumen diperoleh SPRM hampir lengkap

SPRM masih memerlukan kira-kira 20 peratus dokumen untuk dilengkapkan berhubung isu penggunaan wang RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
SPRM masih memerlukan kira-kira 20 peratus dokumen untuk dilengkapkan berhubung isu penggunaan wang RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih memerlukan kira-kira 20 peratus dokumen untuk dilengkapkan berhubung isu membabitkan penggunaan wang sebanyak RM700 juta bagi tujuan promosi dan publisiti untuk menghebahkan pencapaian kerajaan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

Pengarah Kanan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim berkata, dokumen itu perlu diperoleh daripada pihak Kementerian Kewangan (MOF).

"Kita masih jalankan siasatan dan buat masa ini dokumen yang diperoleh masih belum lengkap.

"Ada kira-kira 20 peratus lagi dokumen dari MOF diperlukan," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan SPRM perlu melengkapkan dokumen berkaitan sebelum tindakan lanjut dibuat termasuklah memanggil bekas pemimpin kerajaan.

Sebelum itu pada Selasa, media melaporkan SPRM telah ke MOF dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi proses siasatan dan mengumpulkan maklumat serta mendapatkan dokumen berkaitan.

Siasatan dibuat berdasarkan maklumat awal yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran pada November tahun lalu.

Prabakaran ketika itu meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah keseluruhan dibelanjakan kerajaan untuk kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa termasuk media cetak, media digital serta televisyen sepanjang tahun sejak 2020 hingga kini.

Artikel Berkaitan: