16 maut banjir di Jakarta

Pengendali banjir membantu mangsa mangsa banjir berpindah. - Foto Antara
Pengendali banjir membantu mangsa mangsa banjir berpindah. - Foto Antara
A
A
A

JAKARTA - Sebanyak 16 orang dilaporkan terkorban dalam banjir di Jakarta dan bandar berhampiran Jakarta sejak semalam.

Menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB), sehingga jam 8 pagi ini, lebih 30,000 mangsa banjir dilaporkan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara berikutan kawasan penempatan mereka dinaiki air sehingga 2 meter.

Selain beberapa kawasan di ibu negara Jakarta, kawasan di bandar berhampiran Jakarta seperti Tangerang, Depok, Bekasi dan Bogor turut mengalami banjir semalam berikutan hujan lebat pada awal pagi tahun 2020.

"Terdapat 16 mangsa meninggal akibat banjir dengan perinciannya di Jakarta seramai lapan orang iaitu tiga di Kota Depok dan masing-masing seorang di Kota Bekasi, Kota Bogor, Kabupaten Bogor, Kota Tangerang dan Tangerang Selatan," kata Ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo dalam satu kenyataan.

Mereka yang meninggal itu antaranya mengalami hipotemia, lemas dihanyutkan arus, tertimbus akibat tanah runtuh dan terkena renjatan elektrik.

Menurut BNPB, beberapa kawasan banjir di Jakarta sudah beransur pulih namun masyarakat diminta berjaga-jaga berikutan hujan diramalkan berlaku sehingga Khamis ini.

Badan Meteorologi Klimatologi dan Geofisika (BMKG) dalam satu kenyataan menyatakan antara punca banjir itu adalah hujan lebat ekstrem yang mencatatkan bacaan 377 milimeter (mm), sedangkan rekod tertinggi pada 2007 mencatatkan bacaan 340 mm.

Menurut Twitter rasmi Traffic Management Center (TMC) Polis Daerah Metro Jaya (Jakarta), beberapa jalan utama di Jakarta seperti masih tidak dapat digunakan kerana dinaiki air termasuk di Simpang Cempaka Mas, Jalan S Parman, Jalan Rasuna Said, Jalan Pemuda Rawamangun dan Jalan Gatot Subroto.

Artikel Berkaitan:

Lapangan terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta Timur juga tidak dapat beroperasi pagi semalam kerana landasan di lapangan terbang itu dinaiki air dan dijangka kembali beroperasi sepenuhnya hari ini.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta meminta rakyat Malaysia di Jakarta dan kawasan berhampiran mematuhi arahan dikeluarkan pihak berkuasa tempatan dan jika memerlukan sebarang bantuan konsular, boleh menghubungi kedutaan Malaysia di talian ‭+62 813 80813036‬. - Bernama