NORTHPORT: Kejayaan transformasi pemodenan, pengiktirafan dunia

No Image Caption
A
A
A

Dengan sejarah pengoperasian pelabuhan melangkaui usia satu abad, Northport (Malaysia) Bhd atau lebih dikenali sebagai Northport yang merupakan ahli Kumpulan MMC Corporation Berhad (MMC) telah merintis pelbagai pencapaian yang cemerlang.

Daripada sejarah yang hanya bermula sebagai Port Swettenham, pelabuhan ini telah dibuka pada 15 September 1901, dan merupakan pelabuhan pertama dibina di Pelabuhan Klang.

Selama bertahun-tahun Port Swettenham menjadi gerbang keluar masuk dagangan negara dengan menawarkan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan pelabuhan untuk semua jenis kargo konvensional termasuk kargo pukal kering, pukal am dan pukal cecair.

Bagaimanapun, wajah Port Swettenham telah berubah kepada fasa permodenan bermula pada tahun 1963 dengan pembinaan dermaga Selat Klang Utara sebelum dinamakan kepada Pelabuhan Klang pada 1972 sehinggalah berjaya mencapai pelbagai siri anugerah serta pengiktirafan dari dalam dan luar negara.

Hari ini, Northport telah menempa nama sebagai sebuah pelabuhan ‘Port of Many Firsts’.

Pemodenan dan kepesatan ekonomi

Seiring peredaran masa yang menyaksikan pemodenan operasi, pengendalian pelabuhan dan dagangan kontena di seluruh dunia, Pelabuhan Klang juga tidak berkecuali menerima perubahan selain beradaptasi dengan perubahan tersebut.

Malah, Pelabuhan Klang mencatatkan peristiwa penting dalam sejarah perdagangan maritim dan kontena antarabangsa apabila apabila kapal kontena generasi ke-3 yang pertama di dunia, iaitu MV Tokyo Bay dengan kapasiti 3,000 TEU, telah berlabuh di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos 1973 dan menjadi kapal kontena pertama yang berlabuh di perairan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

17 Mei 2023: Pelabuhan PERTAMA di Malaysia yang memenangi anugerah IAPH 2022 Sustainability Award di Persidangan Pelabuhan Dunia, Vancouver, Kanada.
17 Mei 2023: Pelabuhan PERTAMA di Malaysia yang memenangi anugerah IAPH 2022 Sustainability Award di Persidangan Pelabuhan Dunia, Vancouver, Kanada.

Malah, kehadiran MV Tokyo Bay itu telah menandakan bermulanya era perdagangan kontenasinasi di Malaysia.

Bertitik tolak dari itu dan tahun-tahun seterusnya, ia menyaksikan Pelabuhan Klang menjadi penanda aras kepada perkembangan industri maritim negara ini selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maritim yang disegani.

Pada masa sama, kepesatan ekonomi Malaysia dalam sekitar tahun 1980-turut mendorong kerajaan meningkatkan kecekapan agensi-agensi serta syarikat berkaitan di bawahnya bagi memenuhi tuntutan perubahan tersebut termasuklah memperkenal dan melaksanakan Dasar Penswastaan pada tahun 1983.

Dasar Penswastaan merupakan satu usaha ke arah meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara. Di bawah pelaksanaan dasar itu, Pelabuhan Klang adalah yang pertama di Malaysia yang merintis program penswastaan melalui penubuhan Kelang Container Terminal (KCT) pada 17 Mac 1986. KCT (ketika ini dikenali sebagai Northport) berperanan mengendalikan terminal kontena di Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), iaitu sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Pengangkutan.

Hakikatnya, program penswastaan menunjukkan keberhasilan dan kejayaan yang positif khususnya dalam peningkatan produktiviti pelabuhan serta peningkatan upah gaji para pekerjanya.

Kejayaan program penswastaan KCT turut menjadi penanda aras serta model kepada program penswastaan pelabuhan serta badan-badan Kerajaan yang lain sekali gus menjadikan Malaysia sebagai peneraju dalam program penswastaan pelabuhan di Asia.

Kecekapan dan teknologi mampan

Peningkatan produktiviti di Northport turut disumbang dengan penggunaan peralatan jentera pelabuhan yang moden, canggih dan terkini.

Menyedari pentingnya kelestarian alam sekitar di dalam pengoperasian pelabuhan, Northport telah membuat pembelian 13 buah kren Electric Rubber Tyred Gantry (E-RTG) pada tahun 2013.

23 Disember 2020: Pelabuhan PERTAMA di Malaysia dianugerahkan ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah.
23 Disember 2020: Pelabuhan PERTAMA di Malaysia dianugerahkan ISO 37001: 2016 Sistem Pengurusan Anti Rasuah.

Usaha ini menjadikan Northport sebagai pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan peralatan jentera berteknologi hijau dalam operasi pelabuhannya. Malah, langkah itu berjaya meningkatkan kecekapan operasi serta produktiviti Northport dalam cara yang bertanggungjawab dan mesra alam.

Kecekapan operasi dan produktiviti itu turut mendorong Northport memperoleh perakuan pensijilan ISO 45001 bagi meningkatkan tahap kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.

Pelbagai usaha serta inisiatif telah dilaksanakan bagi mencapai hasrat tersebut dan akhirnya pada 14 April 2019, Northport telah menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang dianugerahkan dengan pensijilan ISO 45001: 2018 - Sistem Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan.

Komitmen Northport terhadap keselamatan pelabuhan juga telah diperkukuhkan lagi dengan meningkatkan tahap pemantauan dan pengawasan di terminal pelabuhannya. Pada 1 Mei 2019, Northport telah menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang menggunakan sistem pemantauan dron-litar tertutup bersepadu bagi memenuhi pelbagai keperluan keselamatan pelabuhan termasuk pengawasan am, pemantauan parameter dan pengesanan aktiviti yang mencurigakan di sekitar kawasan pelabuhan.

Dengan memanfaatkan ciri pengawasan video terkini, termasuk teknologi Kecerdasan Buatan (AI), Northport telah meletakkan satu tanda aras baharu dalam aspek keselamatan di pelabuhan.

Integriti

Komitmen tinggi Northport terhadap integriti juga telah mendorong kepada usaha memperoleh pensijilan ISO 37001. Berikutan kejayaan beberapa pelaksanaan inisiatif dalam tadbir urus serta menjalankan perniagaan secara beretika selain mematuhi aspek perundangan dan peraturan berkaitan integriti, Northport telah berjaya menjadi pelabuhan pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan ISO 37001:2016 - Sistem Pengurusan Anti-Rasuah daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd pada 23 Disember 2020.

Pengiktirafan

Usaha berterusan Northport di dalam memastikan operasi perniagaannya berada pada tahap tertinggi dari sudut kesihatan dan keselamatan pekerjaan telah diiktiraf dengan beberapa anugerah dari dalam dan luar negara.

Antara pengiktirafan tersebut adalah anugerah International Association of Ports and Harbors (IAPH) 2022 Sustainability Award untuk kategori Kesihatan, Keselamatan dan Sekuriti yang telah dimenangi oleh Northport semasa Persidangan Pelabuhan Dunia IAPH 2022 di Vancouver, Kanada. Dengan projek bertajuk "Journey Towards HSE Excellence",

Northport telah menewaskan dua lagi finalis, iaitu Pelabuhan Montreal dan Pelabuhan Amsterdam, di dalam kategori ini. Northport adalah merupakan pelabuhan Malaysia pertama menerima anugerah antarabangsa IAPH yang berprestij ini.

Walaupun pelabuhan-pelabuhan baharu yang ada pada hari ini bersaiz lebih besar, lebih moden dan lebih canggih, Northport masih mampu berdiri kukuh serta memberi saingan hebat kepada pelabuhan-pelabuhan lain yang ada,

Dalam tahun 2021, Northport telah berjaya memecahkan rekod pengendalian kontena tahunan yang tertinggi dalam sejarahnya dengan mencatatkan 3,324,364 TEU. Pada tahun 2022 pula. Northport telah berjaya memecahkan rekod pengendalian kargo pukal tahunan yang tertinggi dalam sejarahnya dengan mencatatkan 11,115,670 tan metrik.

Disokong dengan sejarah cemerlang menerajui dan mempelopori perubahan industri pelabuhan yang dinamik selama lebih daripada 122 tahun, Northport terus unggul dan mencipta legasinya tersendiri sebagai sebuah pelabuhan “Port of Many Firsts”.

Info:

NORTHPORT PERTAMA DI MALAYSIA SEBAGAI:

- Pelabuhan pertama di bina di Pelabuhan Klang.

- Pelabuhan pertama perintis program Dasar Penswastaan (KCT).

- Pelabuhan Pertama guna jentera teknologi hijau.

- Pelabuhan pertama terima ISO45001:2018.

- Pelabuhan pertama guna sistem pengawasan dron-litar bersepadu.

- Pelabuhan pertama memperoleh ISO 37001:2016.

- Pelabuhan pertama memperoleh anugerah IAPH.

ANTARA KEJAYAAN DAN PENCAPAIAN 60 TAHUN NORTHPORT

- Anugerah Perdana Penarafan Bintang Sasaran Penting (APBSP) 2023 kategori Sasaran Penting Keutamaan lI.

- Anugerah International Safety Awards (Merit) dari British Safety Council pada 2023.

- Anugerah International Association of Ports and Harbors (IAPH) 2022 Sustainability Award, kategori Kesihatan, Keselamatan dan Sekuriti. Pelabuhan Malaysia pertama yang menerima anugerah berprestij ini daripada IAPH.

- Anugerah Pengurusan Keselamatan Pelabuhan Terbaik dari Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada tahun 2021.

- Northport merupakan pemenang kategori Emas - Anugerah Integriti, Governans dan Anti Rasuah (AIGA) 2022.

- Anugerah Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NOSH) 2020/2021 dalam kategori Perkhidmatan Perniagaan, Mentor-Mentee dan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Swasta.

- Anugerah NOSH 2019 dalam kategori Perkhidmatan Perniagaan.

- Dinobatkan Pelabuhan Terbaik Malaysia-Anugerah Prestasi Cemerlang yang disampaikan oleh Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) selama dua tahun berturut-turut sempena Minggu Maritim Dunia Malaysia 2016 dan 2017.

- Pelabuhan pertama di Malaysia yang dianugerahkan ISO 45001:2018 untuk Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan pada 2019 dan ISO 37001:2016 untuk Sistem Pengurusan Anti-Rasuah pada 2021.